Seorang wanita luar negara bersama tiga anaknya sebak dan ditenteramkan sejurus tiba ke lokasi pencarian sejak suaminya warga tempatan yang masih berstatus hilang dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali hari ini.

HULU SELANGOR – Empat individu yang hadir di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali- Goh Tong Genting, di sini, merupakan ahli keluarga mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa merupakan ayah kepada salah seorang individu itu yang datang bersama ibunya yang merupakan warga asing.

“Kita telah membuat semakan dan mendapati nama mangsa (suami wanita luar negara) memang ada dalam senarai individu yang masih hilang dan sedang dicari itu.

“Sebelum ini, pengadu itu telah membuat laporan di Balai Polis Gohtong Jaya mengenai kehilangan bapa mereka sejak kejadian tanah runtuh itu berlaku,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Suffian, setakat ini, seramai 125 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Beliau berkata, operasi tersebut turut menggunakan 11 buah jengkaut dan sembilan ekor anjing Unit Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia untuk mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

“Setakat ini tiada perkembangan terbaharu, namun kita masih bertungkus lumus tanpa mengenal erti keletihan dan akan meningkatkan segala usaha kami tanpa berputus asa dalam operasi mengesan sembilan mangsa yang masih hilang itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette