Dr. Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN (tengah), YBrs. Puan Farah binti Hussamuddin (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan), Ketua Eksekutif PTPTN bergambar bersama tetamu ketika Majlis Pelancaran Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang dan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Dr. Apli Yusoff (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) bergambar bersama tetamu ketika Majlis Pelancaran Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang dan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang di Pulau Pinang dengan objektif menggalak dan memperkasakan budaya menabung dalam masyarakat.

Pengerusinya, Dr Apli Yusoff berkata, pihaknya komited memastikan tiada pelajar tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan.

Setakat 30 November lalu, seramai 3.77 juta pelajar telah dibantu melibatkan dana berjumlah RM68.22 bilion, ujarnya.

Kata beliau, dalam usaha mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman PTPTN, pihaknya kini memberi tumpuan membudayakan amalan menabung untuk pendidikan tinggi anak-anak.

Dr. Apli bin Yusoff, Pengerusi PTPTN (tengah) menandatangani plak pelancaran Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2004, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) memberikan pelbagai keistimewaan seperti dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful ke atas pendeposit.

“Setakat 30 November, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM13.38 bilion dengan bilangan akaun 5.68 juta. Prestasi ini membuktikan bahawa Simpan SSPN diyakini sebagai produk simpanan utama oleh ibu bapa untuk perancangan kewangan pendidikan tinggi anak-anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Apli, penganjuran karnival itu dengan kerjasama Sinar Harian bersempena ulang tahun Jubli Perak PTPTN merupakan salah satu program promosi menerusi pendekatan turun padang yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat dengan aktiviti dan pertandingan menarik.

“Dalam memastikan identiti korporat PTPTN terus disegani dan diberi kepercayaan kukuh, agensi itu telah melaksanakan penjenamaan semula secara berperingkat bermula 2020. 

“Inisiatif ini selari dengan Pelan Strategik 2021-2025 yang turut menumpukan kepada usaha memperkasa organisasi ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang melalui memperkasakan imej, budaya dan proses kerja melalui penjenamaan dan pendigitalan PTPTN.

“Pemilihan lokasi penganjuran karnival ini sangat bertepatan bagi menghebahkan kepada orang ramai tentang perpindahan Pejabat PTPTN Negeri (PPN) Pulau Pinang dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Elevate Gravitas, Permatang Pauh. Justeru, seluruh warga Pulau Pinang boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan. PPN Pulau Pinang telah mula beroperasi pada 15 Disember lepas,” ujarnya.

Ketika ditemuramah, pemenang cabutan itu bagi kategori Siri Silver 2, Lee Siau Poh, 49, berkata, beliau mula menyimpan di akaun Simpan SSPN Prime untuk dua anaknya, berumur 14 dan sembilan tahun, sejak tiga tahun lepas.

“Saya teruja dan berterima kasih kepada PTPTN kerana ini merupakan kali pertama saya memenangi cabutan tersebut.

“Saya membuat keputusan untuk menyimpan di Simpan SSPN sebagai tabung pendidikan untuk anak-anak, di samping itu, ia juga memberi pulangan dividen yang tinggi,” katanya yang bekerja sebagai pengurus jualan di sebuah syarikat pembuatan.

Pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN kategori Siri Silver 2 menerima hadiah berupa akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM2,525.00
Pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN kategori Siri Silver 2 menerima hadiah berupa akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM2,525.00

Sementara itu, Y. Nadharajan, 60, yang juga memenangi cabutan itu berkata, beliau mula mendeposit di akaun Simpan SSPN untuk dua anaknya berumur 24 dan 18 tahun sejak enam tahun lepas.

Pesara guru itu berkata, beliau menyimpan di akaun Simpan SSPN membawa banyak kebaikan seperti pulangan dividen yang tinggi serta masa depan anak-anak turut terjamin dengan adanya simpanan untuk mereka melanjutkan pembelajaran.

“Saya menghargai usaha PTPTN dan saya tidak sangka terpilih memenangi cabutan Siri Silver 2 hari ini. Saya merancang untuk menyimpan semula wang yang dimenangi hari ini untuk masa depan anak-anak,” katanya.

Untuk makluman, karnival ini adalah kesinambungan kepada Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN juga merupakan salah satu program promosi melalui pendekatan turun padang yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat melalui aktiviti dan pertandingan yang menarik.

Pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai ibu bapa dan anak-anak, antaranya Pertandingan Kira Logo Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Puzzle Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Cabutan Sempoi Baq Hang dan banyak lagi.

Selain itu, penyertaan 13 agensi pempamer seperti kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Zakat Pulau Pinang, produk makanan seperti A&W, MAGGI dan Milo serta Van Kelab Simpanan Pendidikan. -MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast