KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) merayu kepada kerajaan agar kadar surcaj elektrik dapat dilaksanakan secara beransur-ansur untuk meringankan beban para peserta industri elektrik dan elektronik (E&E).

Kenaikan kadar surcaj sebanyak 20 sen/kWj berkuat kuasa 1Januari hingga 30 Jun 2023 akan menjejaskan daya saing dan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk semikonduktor dan elektronik.

Presidennya, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, penangguhan ini akan membantu syarikat tempatan bersaiz sederhana dan besar serta syarikat multinasional (MNC) yang sama-sama terjejas oleh keadaan ekonomi semasa dan berdepan pula dengan tahun 2023 yang bakal menyaksikan cabaran di peringkat domestik dan global.

Jelasnya, tahun 2022 sudah cukup mencabar kepada industri E&E kerana Malaysia telah melaksanakan kenaikan gaji minimum sebanyak 25%, peningkatan ambang kerja lebih masa kepada RM4,000 berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan kos elektrik yang lebih tinggi tahun ini.

Pada masa sama, industri turut berdepan dengan peningkatan bahan mentah, kekurangan pekerja, tanggungan kos pelaksanaan prosedur operasi standard Covid-19, kos logistik yang lebih tinggi dan kos-kos lain.

”Pelarasan tarif elektrik yang diumumkan ini ialah kenaikan 400% ke atas kos pelarasan tarif elektrik melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) daripada RM0.037 kepada RM0.20 bagi voltan sederhana (MV), voltan tinggi (HV) termasuk syarikat multinasional.

”Syarikat-syarikat menjangkakan pelarasan ini akan menyaksikan peningkatan sebanyak 50% pada bil elektrik mereka pada 1 Januari 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Industri E&E sudah pun terjejas oleh pembetulan permintaan disebabkan oleh sekatan eksport Amerika Syarikat ke China, inflasi yang tinggi dan kemelesetan global yang akan berlaku.

Syarikat teknologi global baru-baru ini juga mengumumkan pemberhentian kerja secara besar-besaran susulan jangkaan kelembapan global dalam permintaan E&E.

Oleh itu, Siew Hai berkata, kerajaan harus menjalankan analisis menyeluruh pada peringkat sektor termasuk penanda aras perbandingan dengan negara lain serta perundingan dengan industri sebelum sebarang keputusan dibuat.

E&E ialah eksport terbesar Malaysia dan menyumbang kepada kebanyakan lebihan dagangan Malaysia.

Pada 2021, bahagian E&E merekodkan lebihan perdagangan Malaysia sebanyak 6% atau RM142 bilion daripada RM253 bilion. – MalaysiaGazette