peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) mewujudkan sebuah pasukan petugas khas bagi mengkaji semula gaji permulaan jurutera berkhidmat dengan sektor awam di Malaysia yang dilaporkan agak rendah, berbanding negara luar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika mengumumkan perkara itu memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan gaji rendah menjadi faktor utama kurangnya minat golongan muda untuk menceburi profesion tersebut ketika ini.

Sedangkan, negara memerlukan lebih ramai jurutera untuk kelangsungan pembangunan, katanya.

“Merujuk kepada maklumat daripada BEM, nisbah jurutera kepada populasi rakyat Malaysia hanya 1:170 berbanding negara maju yang lain.

“Saya turut maklum berkaitan isu gaji permulaan profesion teknikal di dalam negara yang dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan negara luar.

“Sehubungan itu, BEM akan mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia,” katanya ketika ucapan merasmikan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022, secara maya di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Untuk rekod, gaji permulaan yang dicadangkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah antara RM 2,800 hingga RM3,500.

Sementara itu, Wan Ahmad Uzir berkata, cadangan gaji antara RM2,800 hingga RM3,500 itu turut mengambil kira pandangan disuarakan badan profesional itu termasuk Institut Jurutera Malaysia (IEM).

Ujarnya, sehingga kini kajian berhubung gaji permulaan itu sudah siap sepenuhnya dan akan dibawa ke JPA dalam masa terdekat.

Tambahnya, amat penting untuk negara memiliki lebih ramai jurutera yang berkhidmat dengan sektor awam memandangkan kerajaan kekurangan kira-kira 100,000 lagi golongan profesion dalam bidang tersebut.

“Dengan pertambahan bilangan projek pembangunan dan jalan kita tidak mempunyai jurutera yang mencukupi.

“Kita memerlukan kira-kira 300,000 jurutera namun kini kita hanya ada 200,000 sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette