Antara sebahagian pekerja yang memegang plakad sebagai tanda bantahan mengenai isu pemberhentian 1,000 pekerja Nationwide Express yang tidak mendapat pampasan pekerjaan di Jabatan Perusahaan Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Seramai 680 pekerja sebuah syarikat penyedia perkhidmatan kurier terkemuka di negara ini, Nationwide Express menerima notis penamatan kerja bermula esok hingga 24 Januari ini.

Ada antara mereka yang bekerja lebih 30 tahun, akan ditamatkan perkhidmatan secara berperingkat tanpa dibayar sebarang pampasan.

Seorang pekerja, Mohd Hezri Rusli, 42, mendapat notis pada 1 Disember lalu dengan memaklumkan tarikh penamatan kerjanya berkuatkuasa 24 Januari ini.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu sejak 13 tahun lalu memaklumkan, gaji sebelum ini pun tidak dibayar penuh oleh syarikat.

“Tiba-tiba pada 1 Disember lalu, kami semua dapat notis ditamatkan kerja. Ada yang akan tamat mulai esok, 22 Disember dan ada yang tamat perkhidmatan pada 24 Januari ini.

“Rasa tidak adillah syarikat berikan notis penamatan kerja macam itu saja, tanpa dinyatakan oleh syarikat untuk membayar pampasan atau sebagainya kepada kami.

“Kalau kami berhenti di syarikat ini, kerja apa lagi kami dapat cari dalam tempoh yang singkat dan usia sudah melebihi daripada syarat syarikat lain,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, di sini, hari ini.

Antara sebahagian pekerja yang memegang plakad sebagai tanda bantahan mengenai isu pemberhentian 1,000 pekerja Nationwide Express yang tidak mendapat pampasan pekerjaan di Jabatan Perusahaan Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2022.

Menurut Mohd Hezri, dalam perjumpaan itu, mereka diminta supaya merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor dengan memfailkan tuntutan tindakan syarikat ke atas mereka.

Katanya, kumpulan pekerja itu, yang mewakili rakan mereka di seluruh negara yang turut menerima nasib sama, akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menguruskan tuntutan mereka ke atas syarikat berkenaan.

Beliau yang mempunyai dua anak dan tinggal di Seremban, Negeri Sembilan, berulang alik seminggu sekali ke pejabat Nationwide Express Shah Alam sepanjang bertugas.

Katanya, jika syarikat menjanjikan bayaran pampasan sudah dianggap meringankan beban semua pekerja yang akan berhenti mulai esok hingga 24 Januari ini, tetapi mereka dimaklumkan tidak mendapat apa-apa bayaran.

“Ini yang kami datang ke sini, dengan harapan untuk menuntut hak kami, tetapi dimaklumkan oleh jabatan ini supaya kamu rujuk ke JTK Shah Alam.

“Kami amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera memandangkan kos sara hidup ketika ini sangat tinggi dan kami tidak mempunyai sumber pendapatan tetap untuk menyara keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette