Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport industri kayu meningkat 3.4 peratus pada tahun 2021 kepada RM20.4 bilion, didorong oleh kedua-dua keluaran kayu perkilangan dan pertanian.

Jabatan Perangkaan berkata, eksport keluaran kayu perkilangan merangkumi 81.3 peratus daripada eksport industri perkayuan pada tahun 2021, dengan nilai RM16.6 bilion, manakala keluaran kayu pertanian meliputi 18.7 peratus atau RM3.8 bilion seperti yang dilaporkan dalam Malaysia Trade Statistics Review (MTSR).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sejak 32 tahun yang lalu, trend eksport produk industri perkayuan di Malaysia dilihat tidak menentu dan pernah memuncak pada tahun 2006 dengan nilai RM22.9 bilion.

Jepun adalah destinasi eksport utama bagi produk kayu Malaysia, menyumbang 30.1 peratus atau RM2.1 bilion pada tahun 2021.

Berlatarbelakangkan perkembangan industri pembuatan kayu, bagi memenuhi permintaan input perantaraan bagi subsektor ini, import keluaran kayu pertanian juga menunjukkan peningkatan trend.

Import keluaran kayu pertanian meningkat secara purata pada 11.2 peratus setahun bagi tempoh 1990 hingga 2021.

Dari sudut import, nilai import produk kayu Malaysia adalah RM3.2 bilion pada tahun 2021 berbanding RM65.9 juta pada tahun 1990 dengan merekodkan peningkatan secara konsisten sepanjang tahun. Indonesia dan China merupakan negara asal utama bagi import produk kayu pada tahun 2021 dengan nilai masing-masing RM0.7 bilion dan RM0.6 bilion.

Beliau berkata, selaras dengan prestasi sektor pembuatan, industri perabot Malaysia turut merekodkan perkembangan pesat.

Nilai eksport produk perabot berjumlah RM1.6 bilion dan menyumbang 2.0 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 1990. Ia dilihat melonjak kepada RM16.6 bilion pada 2021 meskipun menunjukkan trend yang tidak menentu.

Purata kadar pertumbuhan tahunan produk ini antara tahun 1990 hingga 2021 adalah pada 7.9 peratus. Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, United Kingdom dan Australia merupakan lima negara destinasi utama dalam eksport perabot kayu Malaysia.

Selain itu, import produk perabot berjumlah RM5.7 bilion pada 2021 dengan China mendominasi sebagai negara asal utama perabot kayu lain sejak 2008. – MalaysiaGazette