Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Orang ramai agar segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) jika premis mereka dinaiki air banjir bagi membolehkan syarikat utiliti nasional tersebut menghentikan bekalan elektrik demi keselamatan.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, penutupan bekalan elektrik itu adalah bersifat sementara bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan akan disambungkan semula apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat.

”TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang diuji dengan bencana serta TNB juga sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan elektrik dalam suasana tersebut,” katanya merujuk kepada kemungkinan banjir pada musim tengkujuh sekarang ini.

Katanya lagi, keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha membaikpulih bekalan yang mana TNB terlebih dahulu memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain serta membuat pengujian bagi memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

Jelas beliau, TNB akan segera memberikan semula bekalan sebaik keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku, TNB menyarankan orang ramai di kawasan yang terlibat dengan banjir untuk mengamalkan nasihat dan panduan keselamatan elektrik berikut:

Ketika banjir: Apabila premis dinaiki air, hindari penggunaan peralatan elektrik, letakkan peralatan elektrik di tempat tinggi, pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan elektrik; hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mohon memutuskan bekalan elektrik jika paras air meningkat.

Jauhi peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut penebat; hindari tiang besi atau mana-mana pepasangan TNB yang ditenggelami air bagi mengelak risiko renjatan elektrik; pastikan semua suis di soket alir keluar ditutup dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik; pastikan bank kuasa mudah alih dicaj lebih awal untuk mengecas telefon bimbit bagi memudahkan urusan komunikasi; sekiranya premis dipasang dengan sistem solar PV, matikan sistem tersebut sebelum keluar dari rumah untuk mengelakkan bekalan sua balik ke sistem pendawaian rumah;

Jika berlaku banjir, elakkan dari menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang yang menyokong pepasangan elektrik TNB atau pepasangan elektrik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selepas banjir: Matikan suis utama sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian; suis dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga; jauhi dahan pokok di talian elektrik kerana bekalan elektrik mungkin masih disalurkan.

Maklumkan kepada TNB untuk Tindakan segera; jangan gunakan galah atau tangga yang diperbuat daripada besi/aluminium/buluh/kayu berhampiran talian elektrik; ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak menghampiri tiang dan kabel elektrik yang rosak.

Orang ramai juga disarankan untuk menghubungi TNB sekiranya ternampak sebarang kejanggalan pada pepasangan syarikat utiliti itu yang terkesan akibat banjir. – MalaysiaGazette