jawatankuasa agama
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menyarankan kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa dengan tanggungjawab khas untuk mempromosikan pemahaman dan keharmonian antara agama di negara ini.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut juga bertujuan untuk menegakkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Islam sebagai agama rasmi dengan agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan harmoni.

“Selain itu, perlu ada satu bahagian khas dalam badan polis untuk menguruskan masalah ucapan kebencian yang menghasut ke arah kebencian dan syak wasangka dalam pelbagai kumpulan kaum dan agama, terutamanya di media sosial,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang menyeru semua pihak agar tidak bertoleransi dengan cubaan untuk menghasut perasaan syak wasangka dan kebencian di antara kaum dan agama yang berpotensi untuk mencetuskan perbalahan di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak bertoleransi terhadap hasutan perkauman dan keagamaan dalam masyarakat majmuk kerana perkara itu boleh memusnahkan negara.

“Pendirian sifar toleransi terhadap politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan ini perlulah dapat dilihat dengan jelas dari hari-hari awal kerajaan Anwar, dengan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mengeksploitasi perbezaan perkauman dan keagamaan di Malaysia,” jelasnya.

Kit Siang memberitahu, selama 57 tahun berkecimpung dalam politik, beliau telah bergerak dan melawat lebih banyak kawasan-kawasan di Malaysia berbanding dengan kebanyakan rakyat lain.

Beliau juga mengatakan dengan yakin bahawa tiada sentimen anti-Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak, atau anti-Islam, Buddha, Hindu, Kristian dalam kalangan rakyat.

Namun, katanya, sesetengah parti dan personaliti politik cuba meracuni minda rakyat yang kononnya orang Melayu dan Islam kini sedang terancam.

“Perbuatan berbahaya ini telah mencapai satu tahap yang belum dilihat sebelum ini dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Dari manakah ancaman terhadap orang Melayu dan Islam datang?” soalnya. – MalaysiaGazette