Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man digesa supaya menyenaraikan syarikat yang menerima projek tebatan banjir secara rundingan terus ketika pentadiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil turut meminta agar bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan yang dimaklumkan dalam Parlimen kelmarin membabitkan perbelanjaan bernilai RM15 bilion.

“Ketika kerajaan PN sebanyak 28 daripada 39 projek tebatan banjir telah dianugerahkan secara rundingan terus.

“Jumlah ini adalah sekitar RM15 billion atau 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan tebatan banjir kementerian.

“Perkara ini dimaklumkan dalam Parlimen semalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Isham, projek bernilai besar itu melibatkan banyak kerja-kerja kejuruteraan awam yang mana ramai kontraktor biasa boleh melaksanakannya.

“Tetapi mengapa anugerah (projek tebatan banjir) secara rundingan terus?.

“Siapa yang dapat kontrak berbillion-billion ringgit secara rundingan terus ini?,” soalnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang dibuat sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion belum diluluskan dan tiada sebarang Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada mana-mana syarikat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, tidak timbul soal mahu membatalkan kelulusan projek berkenaan termasuk mengkaji semula peruntukan tersebut yang dibangkitkan dan dikatakan melibatkan rundingan terus dengan pihak kontraktor. – MalaysiaGazette