Fikri Che Soh. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Demi mendapatkan pengalaman baharu selain mahu mencabar diri bersama dengan pasukan lebih besar, menjadi faktor buat penjaga gol, Fikri Che Soh menyahut cabaran berhijrah ke Kedah Darul Aman FC.

Walaupun sedar terpaksa bersaing dengan dua lagi nama yang besar iaitu Kalamullah Al-Hafiz dan Ifwat Akmal Che Hashim, itu tidak mematahkan semangat Fikri yang sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Tambahnya,pengalaman dua musim bermain selaku penjaga gol utama di Kelantan United FC akan menjadi bekalan terbaik buat penjaga gol berusia 24 tahun itu boleh menggalas tanggungjawab jika diberikan peluang.

“Sebelum ini saya pernah ke Perlis pada 2019 tetapi pasukan itu ditutup dan harap keputusan kali kedua ke utara, akan memberikan tuah untuk karier saya.

“Enam tahun beraksi di Kelantan, rasanya sudah sampai masanya saya keluar mendapatkan pengalaman bersama pasukan lain dan keluar dari zon selesa.

“Jurulatih, Yazid Yassin menjadi orang bertanggungjawab membawa saya ke sini dan sebaik tawaran diberikan, saya mengambil masa membuat keputusan kerana Kelantan United terlebih dahulu mahu saya terus kekal.

“Akhirnya saya memilih Kedah memandangkan pertama kali saya mendapat tawaran daripada pasukan besar selain penyokong-penyokongnya yang merupakan antara teramai di Liga Malaysia.

“Saya bersedia untuk cabar tempat dalam pasukan walaupun semua orang tahu Kalamullah dan Ifwat, adalah dua nama besar dalam liga kita,” katanya.

Fikri tampil pada 21 daripada 22 perlawanan secara keseluruhan untuk Kelantan United termasuk aksi TM Piala Malaysia dan Piala FA.

Di pentas Liga Premier, dia berjaya meraih tiga perlawanan tanpa bolos dan satu pada perlawanan Piala FA.

Sebelum bermain bersama Kelantan United, Fikri memulakan karier bersama skuad Piala Presiden Kelantan sebelum mula diserap ke dalam pasukan senior pada musim 2018.

Dia terus beraksi di Kelantan sehingga musim 2020 sebelum Kelantan United menggunakan khidmatnya bermula musim 2021 dan sering kali bertindak sebagai penjaga gol utama.

Mengenai saingan Liga Malaysia musim depan, Fikri berfikiran positif melihat pertambahan jadual perlawanan di Liga Super dari 22 ke 30 perlawanan akan membuka peluang yang lebih baik untuk semua pemain mendapatkan minit permainan.

“Berdasarkan jumlah perlawanan yang bertambah ekoran gabungan pasukan dari Liga Super dan Liga Premier, saya rasa sebahagian besar pemain ada peluang untuk dapat bermain.

“Ini kebaikan yang saya nampak kerana mungkin jurulatih akan ada penggiliran pemain antara pemain utama dan simpanan bagi harungi musim yang panjang,” katanya. – MalaysiaGazette