BATANG KALI – Mayat empat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali- Goh Tong Genting, di sini, yang ditemukan pada jam 11.04 pagi tadi hasil petanda awal yang membawa kepada penggalian oleh jengkaut.
Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, anjing Unit Pengesan (K9) digunakan selepas penggalian sedalam tujuh meter sebelum menemui mangsa di sektor C (riverside).
Katanya mangsa ditemui dalam satu khemah bersama barangan peribadi yang terletak berhampiran mereka.
“Empat mangsa ini dijumpai hasil korekan excavator pada kedalaman tujuh meter yang akhirnya menemui satu kawasan perkhemahan.
“Kemudian, Unit Anjing Pengesan (K9) membantu untuk mendapatkan lokasinya secara lebih tepat sebelum kerja pencarian secara manual dilakukan yang akhirnya berjaya membawa penemuan mayat dua dewasa termasuk lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan dalam gulungan itu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tambahnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan polis, bomba, tentera, dan anggota Pertahanan Awam akan akan meneruskan operasi mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang.
Menurut Wan Md Razali, operasi yang masuk hari ketujuh itu akan diteruskan dengan tumpuan diberikan di sektor C (riverside) dan sektor A (hillview).
Penemuan empat mangsa pada jam 11.04 pagi itu menyaksikan angka korban tragedi yang berlaku awal pagi Jumaat meningkat kepada 30 orang. – MalaysiaGazette