Penolong Juruteknik TNB, Mohd Hanafi dan Mohd Syarifuddin (terlindung) tekun menjalankan kerja-kerja pembersihan di pencawang elektrik di Kuala Terengganu hari ini, setelah air banjir mula surut di beberapa kawasan. Kerja-kerja pembersihan dan pengujian pepasangan perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan kerosakan pada pepasangan, sebelum bekalan elektrik yang berdaya harap dapat disalurkan semula kepada pengguna. Foto: TNB

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memutuskan segera bekalan elektrik di kawasan yang terlibat banjir demi keselamatan orang ramai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din berkata, langkah berkenaan juga bertujuan meminimumkan kerosakan pepasangan TNB dan memastikan pengurusan bekalan tenaga teratur serta berkesan demi kepentingan orang awam.

Justeru, beliau menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang untuk tindakan segera demi keselamatan awam.

“Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

“Kami juga turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak menerima bekalan daripada pencawang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Baharin, TNB tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna dan warga kerjanya dalam proses pemulihan bekalan selepas banjir surut, bagi mengelak kemungkinan risiko percikan arka (flash over) dan renjatan elektrik.

Ujarnya, Suruhanjaya Tenaga (ST) dimaklumkan bahawa bantuan logistik di lokasi-lokasi yang sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak, 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW, 279 buah lori, 885 kenderaan pacuan empat roda, 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

Tambah beliau, setakat 19 Disember, sejumlah 238 daripada 258 PPS yang sebahagian besarnya di Terengganu dan Kelantan telah mendapat bekalan elektrik dan TNB sedang berusaha menghantarkan set janakuasa mudah alih kepada 20 lagi PPS yang sukar diakses oleh laluan darat.

“Melihat kepada persiapan ini, ST berharap langkah-langkah yang telah diambil oleh TNB dalam persiapan menghadapi banjir dapat menjamin aspek penjagaan keselamatan, pengurusan bekalan, penghebahan maklumat dan sebagainya untuk kepentingan orang
awam,” katanya.

Dalam pada itu katanya ST dan TNB menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

Katanya, mereka diingat agar mengelak daripada menyentuh peralatan elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.

“Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan ST bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air,” jelasnya. – MalaysiaGazette