Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati makan tengah hari bersama pengunjung sebelum menunaikan solat jumaat di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi menikmati makan tengah hari bersama pengunjung di gerai Sup Meletup di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Kehadiran beliau disambut pemilik gerai Sup Meletup, Zolkhoari Abdul Aziz dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Bahagian Bandar Tun Razak.

Beliau yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu tiba pukul 1.05 tengahari dengan ditemani Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Othman.

Beliau menjamu selera sambil menyantuni pengunjung yang ingin merakam gambar kenangan bersama beliau.

Perdana Menteri dilihat cukup berselera menikmati hidangan bihun sup panas iaitu satu daripada menu popular di gerai itu selain satey dan satar yang sememangnya popular di gerai itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dan bersalaman dengan sebahagian jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Uthman Bin Affan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2022.

Sejurus selepas menikmati makan tengahari Anwar bergerak ke Masjid Saidina Othman Ibn Affan di Bandar Tun Razak untuk menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Imam I masjid itu, Ahmad Fakhruddin Tahir.

Anwar turut bersama dengan para jemaah mendengar khutbah yang bertajuk Banjir, Keinsafan Di sebalik Musibah yang disampaikan oleh Ahmad Fakhruddin .

Seusai selepas solat, Anwar bersalaman dengan para jemaah sebelum bergerak pulang ke pejabatnya di Perdana Putra. – MalaysiaGazette