Sebahagian peserta Khatan Perdana bersama ibu bapa masing-masing semasa majlis perasmian.

KUALA LUMPUR – Sempena cuti sesi persekolahan hujung tahun 2022, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah mengadakan program Jelajah Khatan Perdana UMS baru-baru ini.

Siri Jelajah Khatan Perdana UMS ini melibatkan sekitar 255 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak kakitangan UMS dan kategori kumpulan keluarga yang kurang berkemampuan berumur dari lima hingga 16 tahun.

Program ini melibatkan beberapa buah daerah di Sabah antaranya Pusat Rawatan Warga UMS Kota Kinabalu, Rumah Anak Yatim Tambunan, Masjid Riyadhus Solihin, Keningau, Pusat Rawatan Warga UMS Kota Kinabalu dan Masjid Jami’ Kariah Kerukan, Kuala Penyu.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program seperti ini dapat meluaskan lagi visibiliti HUMS ke seluruh pelusuk negeri Sabah.

“Secara tidak langsung, ia dapat memperkenalkan perkhidmatan kesihatan yang terdapat di HUMS kepada masyarakat dari luar UMS.

“Saya juga dimaklumkan program Khatan Perdana ini dianjurkan secara percuma dan sudah pasti dapat mengurangkan beban kewangan kepada keluarga yang terlibat,” katanya pada majlis perasmian Jelajah Khatan Perdana yang diadakan di Pusat Rawatan Warga UMS.

Peserta mendaftar di Pusat Rawatan Warga.

Kasim berharap program seperti ini akan dapat terus diadakan pada masa hadapan dengan menjelajah ke daerah-daerah lain yang terdapat di negeri Sabah.

“Saya cadangkan agar program kesihatan lain dapat diperluaskan lagi seperti pemeriksaan kesihatan percuma di daerah-daerah mahupun kampung-kampung yang terdapat di negeri Sabah bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kakitangan kesihatan dan masyarakat.

“Diharapkan hubungan antara kalangan warga UMS dengan masyarakat sekitarnya dapat dieratkan lagi dan secara tidak langsung dapat mengurangkan beban keluarga yang terlibat dalam urusan program khatan ini,” katanya. -MalaysiaGazette