Mohamad Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mempertahankan dakwaan pertuduhan mahkamah yang dibuat kepada pemimpin-pemimpin UMNO semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh adalah pendakwaan politik.

Ia dibuktikan dengan pendedahan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa menerima arahan daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membuat pertuduhan ke atas Tan Sri Shahrir Ab Samad atas tuduhan pengubahan wang haram walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

”Sebab itu apa yang berlaku kepada pemimpin UMNO semasa Tun M Perdana Menteri ke-7 adalah pendakwaan politik. Asalkan didakwa sudah. Tujuannnya “pemimpin UMNO ramai Kluster Mahkamah”. Naratif terancang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Masalahnya, apa jadi dengan SPRM, soal Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

”Alat politik juga ke? Sebab itu mengarut jika tidak ada campur tangan politik ketika itu,” ujar beliau yang mahu Tommy disiasat segera.

Dalam prosiding mahkamah semalam, Penolong Penguasa SPRM, Nurzahidah Yacop mengesahkan perkara tersebut.

Saksi itu mendakwa Tommy telah memberi arahan kepada SPRM untuk mendakwa Shahrir atas tuduhan pengubahan wang haram walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

Malah saksi ke-22 juga membuat pengakuan bahawa dia sudah memberikan nasihat berhubung perkara itu kepada pegawai atasannya tentang siasatan melalui sudut ganti balik namun tiada arahan lanjut yang diberikan.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bharu sedang didakwa atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika prosiding semalam, Nurzahidah turut mendedahkan kepada mahkamah ketika menyoal siasat tertuduh ketika itu, Shahrir mendakwa wang diterima adalah bagi menggantikan wang pencennya yang digunakan bagi kerja kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Malah Shahrir turut memberitahunya yang beliau memohon secara lisan kepada Najib supaya wang itu digantikan ketika berjumpa Perdana Menteri ketika itu di Pejabat Perdana Menteri pada 2013. – MalaysiaGazette

Tommy tetap mahu dakwa Shahrir walaupun kertas siasatan tak lengkap