telur lompat parti
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN)  bimbang dengan tingkah-laku ahli-ahli Parlimen kerajaan ketika berada di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, di dalam Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menjerit-jerit menghalang perbahasan.

Apabila di luar Dewan Rakyat, mereka menyaman kiri dan kanan untuk menghalang kritikan, katanya yang kesal dengan akhlak yang ditunjukkan oleh segelintir Ahli Dewan Rakyat PH pada hari persidangan 19 Disember lalu.

”Saya betul-betul terkejut apabila YB-YB dari PH tiba-tiba bangun menjerit, memekik dan melolong tak bertempat. Saya rasa YDP Dewan Rakyat yang baru pun tak menyangka bahawa suasana Dewan akan menjadi begitu. Sehingga beliau terpaksa memberi amaran kepada YB-YB PH itu.

”Saya masuk Dewan Rakyat dengan harapan menggunung. Saya mahu Dewan yang mulia itu menjadi tempat untuk dasar-dasar dan cadangan-cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matang,” katanya yang merujuk kepada kekecohan antara Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Kekecohan berlaku apabila Shahidan mengemukakan ‘point of order’ yang membangkitkan kemarahan Ahli Parlimen blok kerajaan.

Shahidan mengemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abduh agar usul undi percaya berkenaan tidak menggunakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bagi mempengaruhi Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak perlu diabsahkan lagi setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, suasana Dewan Rakyat menjadi gamat apabila Mohd Sany mencelah dengan kuat sambil mendakwa Perdana Menteri mempunyai keberanian membuat usul itu.

Shahidan kemudian membalas beliau terkejut dengan respons yang diberikan Mohd Sany, menyifatkan kekecohan di Dewan Rakyat seperti suasana di zoo negara atau ‘orang gila’.

Dalam pada itu, Anwar telah menyaman Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN); Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yakin generasi baharu politik Malaysia secara umumnya mahukan politik yang lebih matang dan sihat.

”Cukuplah. Marilah kita jadikan Dewan Rakyat sebagai Dewan yang benar-benar mulia. Kita berbahas secara mulia. Bawa idea secara mulia. Kritik lawan pun biarlah secara mulia.

”Dalam PRU15 lalu, bilangan generasi baru yang mengundi adalah tinggi. Generasi baru ini sedang memerhati. Jangan kecewakan harapan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette