Seorang pertugas kontraktor pembersihan memeriksa sisa tumpahan cecair pati minyak wangi yang tumpah dalam insiden kemalangan lori di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite. Foto: Facebook LUAS

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan cecair pati minyak wangi yang tumpah dalam insiden kemalangan lori di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite selesai sepenuhnya pukul 9.20 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh LUAS manakala, bagi kerja pengalihan kontena terlibat dilakukan oleh kontraktor lantikan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Katanya, bau di lokasi pemantauan statik LUAS 1.5 kilometer daripada muka sauk loji sehingga pukul 1 pagi tadi masih dikesan sebanyak dua ton.

“Manakala bau 1 ton masih dikesan di muka sauk loji Jenderam Hilir dan 4 ton di muka sauk LRA Bukit Tampoi.

“Selain, peletakan 18 beg Activated Carbon (AC) yang ditambah oleh LUAS di lokasi pencemaran dan pertemuan Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu dengan peletakan 20 beg AC di lokasi Sungai Limau Manis bagi meningkatkan nyah bau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut LUAS, pemantauan rapi terus dilakukan di lokasi pencemaran iaitu aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih sehingga bacaan bau mencapai 0 ton sebanyak tiga kali berturut-turut bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi semula.

LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sementara pagi semalam susulan insiden pencemaran bau di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Henti tugas kedua-dua loji rawatan air itu menyebabkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi semalam. – MalaysiaGazette

Dua loji rawatan air henti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi