PBM wanita Larry
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Majoriti akar umbi Parti Bangsa Malaysia (PBM) dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Presidennya, Datuk Larry Sng dalam menguruskan parti.

Pemimpin PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pandangan tersebut disuarakan mereka kepada beliau dalam perbincangan sebelum ini.

Menurut beliau, tindakan dangkal Larry yang sering mendedahkan hal-hal kerahsiaan parti dalam media sosial ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan yang berbolak-balik ternyata telah merosakkan imej PBM dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli parti.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Presiden PBM sepatutnya berbincang dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan atau membuat keputusan tertentu.

“Ketika ini, Larry telah memaparkan sifat ketidakmatangan, keangkuhan dan kegagalan beliau untuk berfikir secara rasional dalam menguruskan parti ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zuraida mendakwa, Larry juga mengugut pemimpin-pemimpin lain dengan menggunakan kuasanya untuk menandatangani watikah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu memberitahu, perkara itu berlaku setelah beliau dan pasukan membangunkan PBM dari awal penubuhannya dengan penambahan kekuatan daripada anggota-anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara.

Zuraida menambah, tindakan itu dilakukan dengan perjanjian bahawa tampuk tertinggi parti diserahkan kepada beliau serta-merta berikutan pengumumannya menyertai PBM.

“Perkara itu juga telah diabsahkan melalui usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti di peringkat nasional.

“Tetapi setelah PRU-15 berlangsung, Larry seolah-olah memungkiri janji, malahan bertindak tanpa segan silu membelakangi kehendak majoriti ahli PBM dan telah menyalahgunakan jawatannya untuk kekal berkuasa,” jelasnya.

Beliau juga menyerahkan kepada ahli-ahli PBM dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette