Seorang pemimpin perlu tunjukkan sikap dan perangai baik, tidak kira ketika di dalam dewan atau di luar. Perkara yang memalukan wajar dielakkan.

ADA yang tanya Bawah Kolong (BK) kenapa sesetengah pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin?

BK tanya balik, apa maksud yang dikatakan pemimpin buat perangai bukan macam seorang pemimpin itu?

Dia jelaskan, rakyat harapkan pemimpin itu dapat mencari ikhtiar terbaik untuk selesaikan masalah yang dihadapi, bukan cari helah untuk melepaskan tengkok daripada terjerat dengan masalah rakyat.

BK tanya lagi, adakah anda maksudkan kepada seorang pemimpin yang hilang ketika rakyatnya berdepan dengan musibah banjir baru-baru ini?

Atau anda maksudkan seorang pemimpin yang memberi jawapan mudah sebagai formula menyelesaikan harga ayam mahal di pasaran?

Dia kata, dua-dua sekali. Malah, ada lagi pemimpin yang buat perangai bukan macam seorang pemimpin kalau BK saksi persidangan Parlimen yang pertama bagi penggal PRU15 pada 19 Disember lalu.

Begini, jawab BK: Dalam hal ini kita tak boleh salahkan pemimpin berkenaan jika mereka buat perangai bukan macam seorang pemimpin.

Memang dari azali lagi kita tahu itulah perangai mereka, tapi kita undi dan pilih juga. Bila mereka dah jadi pemimpin yang sah dan tunjuk perangai bukan macam seorang pemimpin, kita nak salahkan siapa?

Nak kata kita tidak diperingatkan, rakaman video penceramah bebas, ustaz Kazim Elias berulang kali diputarkan di media sosial, malah dihafal dari mulut ke mulut.

Ustaz Kazim kata, silap pilih pemimpin, kita akan dapat taik.

Jadi sekarang, rakyat rasa mereka dapat apa dengan memilih pemimpin yang bukan macam perangai seorang pemimpin?

Pendek kata, siapa saja dipilih jadi pemimpin, perangai dan sikap mereka tak dapat lari daripada mewarisi sikap dan perangai pemimpin terdahulu.

Padahal, pemimpin ini juga yang tegur dan kritik pemimpin terdahulu. Cuma bila tiba giliran mereka, perangainya saling tak tumpah dengan yang dahulu. Betullah kata orang-orang tua dulu, mengata orang kena beringat, jangan diri sendiri yang terkena pula.

Dulu, kita kata Datuk Seri Hassan Malek tak cerdik sebab beri alasan, jangan makan ayam kalau harga ayam mahal. Kemudian, kita “boo” Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana beri jawapan, jangan beli telur kalau telur mahal.

Boleh dikatakan, alasan ini menjadi trend kepada menteri, tidak kira yang mengetuai KPDNHEP mahupun menteri berkaitan dengan ekonomi. Seolah, itulah jawapan terbaik mereka untuk disampaikan kepada rakyat.

Secara logiknya memang betul, benar dan tepat sekali jawapan itu, walaupun nampak macam bodoh.

Memang logiklah, kalau kita tak mampu nak beli ayam kerana harganya agak yahudi, kita tukar kepada ikan, udang, ketam, sotong atau beli lauk yang dah masak. Tidaklah sampai perlu masuk wad kalau tak dapat makan ayam.

Begitu juga, isu pemimpin hilang pada musim banjir. Isu ini bukan baharu. Ia berlaku hampir setiap tahun. Susah nak kata dan susah nak fikir dengan sikap dan perangai pemimpin yang bukan macam seorang pemimpin ini.

Sebagai pemimpin, bukan mereka tak tahu bermula November hingga Disember dan berakhir Januari tahun baharu, negara atau negeri akan berdepan dengan musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut.

Dalam masa tiga bulan ini, mereka sepatutnya tahu akan berlaku hujan lebat, ribut petir, banjir kilat mahupun bah. Tetapi, peliknya ada pula pemimpin boleh merancang bawa keluarga makan angin di luar negara.

Mungkin pada mereka bermain salji bersama keluarga di luar negara lebih baik daripada meredah banjir bersama rakyat di kawasan. Apa nak heran, balik ke tanah air nanti, ucap saja “minta maaf”, habis cerita.

Jadi, itulah lebih kurang jawapan BK kepada mereka yang bertanya. Walaupun jawapan itu tidaklah detail sangat, tetapi sekurang-kurangnya menggambarkan itulah perangai pemimpin kita.

Mereka ini lebih kurang dua kali lima saja dengan pemimpin-pemimpin terdahulu. Cuma mereka ini mengkritik sebab ketika itu mereka tidak berada di tempat pemimpin sebelumnya.

Sekarang, bila mereka berada di satu tempat yang pernah diduduki pemimpin terdahulu, barulah mereka merasakan sendiri ‘kebodohan’ yang menjadi sumpahan mereka selama ini.

Bila dah jadi pemimpin ni ubahlah perangai dan sikap. Jangan terlalu sangat mengatakan orang, kelak diri sendiri akan terikut-ikut dengan orang yang kita katakan itu.

Sebab itu, orang tua selalu pesan, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar.

Nak jadi pemimpin, jadilah seorang pemimpin yang benar-benar berwibawa, berkaliber, bijaksana, prihatin dan berjiwa rakyat, bukan jadi pemimpin untuk buat sarkas.

Kalau tak malu pada rakyat, malulah pada anak cucu. Mereka akan membesar dan ada masanya mereka akan menyaksikan gelagat atuk nenek mereka yang memalukan itu. – MalaysiaGazette