KUALA LUMPUR – Dua suspek lelaki warga asing yang disyaki memecah masuk sebuah kedai pakaian di Ampang pada Jumaat lalu ditahan polis.
Kedua-dua suspek warga Myanmar itu diberkas dalam kejadian yang berlaku di Pandan Indah dekat sini dan pemiliknya mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada 23 Disember lalu, pihaknya menerima aduan daripada seorang pekerja premis tersebut mengenai kejadian pecah kedai itu.
Katanya, dalam laporan polis itu, pengadu terkejut apabila mendapati mangga pada pintu masuk premisnya telah dipotong.
“Hasil pemeriksaan pengadu terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai itu mendapati dua suspek lelaki telah memecah masuk kedai pengadu dan barang-barang yang diletakkan dalam kedai tersebut telah hilang iaitu dilarikan kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, insiden itu telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian sekitar RM10,000.
Bertindak atas aduan, pada 23 Disember lalu pihaknya telah membuat serbuan di sekitar Ampang Jaya sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar disyaki suspek pertama.
“Berpandukan maklumat soal siasat suspek pertama, polis telah melakukan satu lagi serbuan semalam sebelum mencekup suspek kedua juga warga Myanmar yang merupakan rakan sejenayah.
“Kedua-dua suspek adalah berusia 20 dan 22 tahun merupakan penganggur disyaki terlibat dalam jenayah pecah kedai pakaian yang disiasat polis.
“Hasil pemeriksaan lanjut polis juga berjaya membuat rampasan barang seperti laptop, peti simpanan duit, alat spanar, telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan berjenama dan alat kawalan jauh kereta mainan,”ujarnya.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua mempunya satu rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis amphethamine.
“Siasatan lanjut mendapati suspek pernah melakukan pecah kedai sebanyak dua kali di Ampang.
“Suspek pertama telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 30 Disember ini manakala suspek kedua direman tujuh hari bermula Ahad hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah/premis dengan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi. – MalaysiaGazette