Keadaan terkini operasi mencarai mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di FatherÕs Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Goh Tong Genting, Batang Kali di Hulu Selangor yang terjejas akibat bencana tanah runtuh sehingga mengorbankan 31 nyawa bukan lokasi kritikal.

Jabatan Mineral dan Giosains (JMG) Malaysia menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan berhubung kejadian tanah runtuh itu.

Ketua Pengarah JMG, Hisamudin Termidi menafikan pihaknya telah menyenaraikan kebun organik itu sebagai lokasi kritikal tanah runtuh.

“JMG ingin menafikan laporan berita bertarikh 18 Disember 2022 tersebut dan menegaskan bahawa skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

“Merujuk cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan JMG,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisamudin merujuk kepada satu laporan media tempatan yang mendakwa bahawa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Hulu Selangor itu disenaraikan sebagai antara lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, aspek penempatan baharu atau cadangan pembangunan baharu di lereng bukit atau berhampiran cerun adalah sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya.

Jurucakap pengusaha kebun organik yang terbabit, Frankie Tan berkata, beliau tidak pernah menerima apa-apa surat atau sebarang maklumat mengenai senarai terbabit.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi Jumaat 16 Disember lalu, seramai 92 orang mangsa terjejas dalam kejadian ngeri itu.

Bagaimanapun seramai 61 orang terselamat manakala sebahagiannya tercedera dalam runtuhan itu manakala 31 lagi telah terkorban selepas tertimbus.

Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada lima agensi utama selama sembilan hari.

Mayat mangsa terakhir iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah ditemui pada jam sekitar pukul 4.50 petang pada hari kesembilan operasi iaitu 24 Disember lalu.- MalaysiaGazette