Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli (tengah) bergambar kenangan dengan pemain-pemain pasukan Todak dan Team HAQ sebelum berlepas ke Indonesia untuk menyertai kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M4 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 DISEMBER 2022.

SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan meletakkan harapan tinggi terhadap dua pasukan e-sukan muda untuk membawa pulang piala kejuaraan M4 e-sukan Dunia 2022 di Jakarta, Indonesia pada 1 Januari 2023.

Timbalan menterinya, Adam Adli berkata, pasukan Todak dan HAQ merupakan pilihan untuk mengharungi cabaran negara dalam kejuaraan dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4 kali ini yang membariskan 16 pasukan terkuat antarabangsa yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah AS$800,000 dolar.

Beliau gembira pasukan e-sukan tempatan mewakili negara ke kejohanan berprestij antarabangsa itu di mana bakat muda memberi inspirasi  kepada rakyat khususnya penggiat e-sukan tanahair.

“Ini satu perkara yang harus dicontohi semua anak muda bergiat dalam e-sukan negara yang mana kita bukan sahaja membangunkan pasukan sekadar menghadapi kejohanan sahaja malah juga untuk komuniti setempat.

“Ini antara perkara yang saya akan perhalusi selepas ini kerana penyertaan dua pasukan e-sukan ini akan inspire pasukan-pasukan e-sukan dalam negara kita agar mengorak langkah lebih jauh dalam sukan itu secara berdikari.

“Lagi pun, pembangunan e-sukan tidak boleh mengharapkan kepada dana daripada kerajaan semata-mata yang sudah pasti tidak mencukupi untuk mengembangkan sukan itu.

“Justeru saya nampak team e-sukan HAQ ini seperti skuad underdog bola sepak Morocco yang dalam Piala Dunia Qatar baru-baru ini yang mengejutkan dunia mara ke suku akhir begitu juga harapan kita terhadap pasukan e-sukan kita ini di Jakarta nanti menjuarai gelaran dunia kali ini,” ujarnya selepas menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada pasukan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Tambah Adam, penglibatan dua pasukan e-sukan bukan hanya mengharumkan nama negara tetapi juga akan menjadi inspirasi kepada golongan belia.

“Mereka merupakan satu generasi baharu yang sangat cakna yang boleh menyalurkan minat dan passion serta semangat kebersamaan dan kenegaraan mereka dalam bidang yang diminati.

“Mengenai sebarang bentuk imbuhan atau insentif andai kata mereka berjaya bergelar juara dunia M4 di Jakarta nanti, itu kena tanya menteri nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette