Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli

SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi fokus terhadap usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit dan permasalahan yang dihadapi para atlet negara dan persatuan sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima segala luahan dari semua atlet dalam satu sesi townhall yang telah diadakan bersama menterinya, Hannah Yeoh pada minggu lalu.

Katanya, antara isu-isu yang dibangkitkan oleh para atlet negara dan yang berpersatuan adalah merangkumi kebajikan atlet, pembangunan fasiliti sukan dan pembangunan akar umbi.

“Menerusi sesi townhall itu, kita (KBS) telah mendapat satu gambaran yang lebih jelas mengenai segala permasalahan yang dihadapi atlet dan persatuan sukan selama ini.

“Ada yang dibangkit itu adalah masalah yang berlarutan dan mungkin pernah disuarakan sebelum ini.

“Jadi, kini tiba masanya untuk pihak kementerian untuk mengambil sikap serius dan jelas dalam menyelesaikan segala isu berbangkit itu terutama sekali melibatkan soal kebajikan atlet, pembangunan fasiliti dan pembangunan akar umbi,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Adam Adli berkata demikian selepas menyerahkan Jalur Gemilang dan Send Off pasukan e-sukan ke kejohanan e-sukan dunia 2022 yang akan membuka tirai di Jakarta Indonesia bermula 1 hingga 15 Januari 2023.

Dalam perkembangan berkaitan sesi townhall, beliau menambah,  pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan banyak pihak iaitu persatuan sukan, atlet program podium, atlet pelapis dan termasuklah atlet para.

Dalam perjumpaan itu, katanya, KBS menerima perspektif yang berbeza daripada para atlet yang hadir tetapi tujuan dan matlamatnya adalah sama.

“Kita mendapati mereka mahu melihat kita membangunkan prestasi sukan tanahair bukan sahaja di peringkat kejohanan antarabangsa tetapi juga kejohanan tempatan.

“Itu yang kita banyak belajar dan diyakini ia boleh dicapai dengan mewujudkan pengurusan sukan yang lebih efisyen dan tatakelola yang lebih baik serta padu,” katanya. – MalaysiaGazette