Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PKNP dan MSSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Mohd Faizal Jaafar (kiri) dan Pengarah Urusan MSSB, Khairil Anwar Ghazali (kanan) di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sekurang-kurangnya 1,000 peluang pekerjaan tersedia buat penduduk sekitar Tanjung Gelang apabila kilang silika yang bernilai hampir RM200 juta dibina di sini pada tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perancangan membangunkan kilang berkenaan telah dibuat oleh Syarikat MHT Silica Sdn Bhd (MSSB) itu akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani perjanjian pajakan tanah seluas kira-kira 600 hektar dengan MSSB bagi projek itu.

“Kita jangkakan pulangan antara RM30 juta hingga RM50 juta sebulan di mana ini adalah satu peluang perniagaan yang sangat baik di Pahang,” katanya.

Wan Rosdy  berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PKNP dan MSSB di Pejabat PKNP, Kompleks Teruntum hari ini.

Pada 22 Disember lalu, MalaysiaGazette melaporkan Pahang merancang bagi membina kilang memproses pasir silika (kaca) bernilai RM2 bilion di Gebeng sebagai inisiatif menarik pelaburan dan memajukan ekonomi negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSSB, Khairil Anwar Ghazali berkata, Pahang merupakan negeri keempat yang dibangunkan industri yang kaya sumber mineral silika yang banyak serta berkualiti tinggi .

Tambahnya, kos pembinaan kilang dianggarkan antara RM50 juta hingga RM100 juta dengan nilai pelaburan awal berjumlah sehingga RM200 juta.

Selain itu, pembukaan kilang itu nanti bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tetapi sekali gus menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri ini.

“Sebelum ini MSSB mempunyai stockpile dan kilang pemprosesan pasir silika di tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Kedah.

“Kami memilih Pahang kerana negeri ini mempunyai sumber mineral silika yang banyak dan berkualiti tinggi menepati standard pelanggan,” kata Khairil. – MalaysiaGazette