vaksin dos penggalak
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa semua individu yang layak agar tampil mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah membuat gesaan itu ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di China ketika ini.

Menurut beliau, langkah lain yang bakal diambil adalah memperkukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan.

“Perkara ini dilaksanakan dengan menambah baik pengurusan Covid-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

“Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera, selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu, keputusan ujian akan segera dikemas kini dalam MySejahtera pengguna di mana kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) serta Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (RO) secara digital.

Menurut beliau, mereka yang positif Covid-19 tidak perlu hadir secara fizikal di pejabat kesihatan daerah atau pusat penilaian Covid-19 (CAC), melainkan jika perlu menjalani pemeriksaan lanjut setelah mengisi borang penilaian di rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Dr. Noor Hisham menambah, KKM turut memastikan semua CAC di klinik kesihatan dan komuniti beroperasi secara fizikal dan maya agar bersedia untuk menerima kedatangan atau panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan Covid-19.

“Selain itu, KKM memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) ke dalam Covid-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lalu dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM.

“Seterusnya, bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan ini telah juga diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta dikenal pasti bermula 20 Jun 2022. Pemberian ubat ini kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma.

“Namun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, KKM juga memantau rapi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) di seluruh negara.

“Ia turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh (WGS) bagi mengesan varian baharu serta aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara,” katanya.

Dr. Noor Hisham memberitahu, KKM telah menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun ini di semua peringkat.

“Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatanmerangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka,” jelasnya. – MalaysiaGazette