Tan Zhen Zune (tengah) dan Heng See Lin (kiri) pada sidang media mengenai Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 di pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengemukakan bilangan responden yang telah menyertai Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu membenarkan rakyat melayari atau mengakses draf itu dalam talian secara percuma supaya rakyat boleh menyemaknya pada bila-bila masa.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang, Tan Zhen Zune berkata, ia bagi menunjukkan ketelusan kerajaan negeri selain memastikan rancangan itu memanfaatkan rakyat.

Jelas beliau, program ini telah dilanjutkan dari 13 Disember 2022 hingga 10 Januari 2023 susulan kerajaan negeri mahu penglibatan ramai rakyat dalam program ini namun adakah wujud peningkatan penglibatan masyarakat

“Kami mendapati masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi publisiti kerana pada masa ini terdapat tiga lokasi pameran iaitu Bangunan Syed Al-Attas di Lebuh Armenian, Bangunan Maker Space di Pasar Awam Balik Pulau dan Kaunter Jabatan Perancangan Pembangunan di Komtar namun masa pameran adalah hari dan waktu bekerja sahaja.

“Manakala hanya dua tempat sahaja yang buka pada hujung minggu dan hanya untuk tiga jam sekali gus dilihat tidak sesuai untuk majoriti rakyat yang bekerja.

“Sekiranya responden tidak menggalakkan, kerajaan negeri Pulau Pinang boleh mengambil inisiatif baru untuk menarik minat rakyat Pulau Pinang menyertai program ini dalam tempoh 14 hari ini sebelum 10 Januari ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Jurucakap Wanita Parti Gerakan Pulau Pinang, Heng See Lin dan Jurucakap Kawasan Batu Lanchang, Chen Min Chieh.

Tambah Zhen Zune, pihaknya berharap kerajaan negeri akan membuat penambahbaikan berhubung program itu memandangkan program publisiti dan penyertaan awam draf tersebut akan tamat tidak lama lagi.

“Kita harap kerajaan negeri akan meringkaskan draf rancangan itu selain mengadakan sesi townhall bagi membolehkan rakyat faham rancangan di kawasan mereka. – MalaysiaGazette