RTM AFF
Peminat bola sepak tanah air boleh menyaksikan siaran perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 melalui saluran RTM mulai malam ini.

KUALA LUMPUR – Saluran RTM akan menyiarkan perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric mulai malam ini sehingga perlawanan akhir yang dijadualkan pada 16 Januari depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, para peminat bola sepak boleh menyaksikan sebanyak 10 perlawanan kejohanan itu yang akan disiarkan di saluran TV2 dan Sukan RTM serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

“Siaran oleh RTM ini merupakan siaran tidak berbayar (FTA) dan tertakluk kepada syarat kontrak hak siaran eksklusif, iaitu stesen penyiar FTA hanya dibenarkan menyiarkan perlawanan 15 minit lewat daripada waktu sebenar perlawanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, langkah itu dilaksanakan ekoran permohonan ramai peminat bola sepak tanah air agar perlawanan kejohanan tersebut disiarkan di saluran RTM.

Fahmi juga telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut mencadangkan perkara yang sama. – MalaysiaGazette