ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Seorang lelaki warga Nepal yang telah diselamatkan oleh bomba dalam kebakaran bangunan tiga tingkat di Hentian Kajang hari ini disyaki suspek yang sengaja mencetuskan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati punca kejadian  disebabkan oleh suspek yang telah bertindak membakar tilam dan pakaian di dalam biliknya dengan alasan mahu membahayakan diri.

“Tempat kejadian kebakaran itu merupakan premis kediaman yang dijadikan asrama pekerja kilang yang mana asrama tersebut mempunyai tiga bilik yang menempatkan dua pekerja Nepal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, kes telah disiasat di bawah Seksyen 309/436 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri serta sengaja menyebabkan kebakaran di dalam premis tempat tinggal.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 309 kanun yang sama manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 436 yang boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan denda,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi mana-mana balai polis atau terus berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Norhafiza Burhannudin di talian 019-3903410 bagi membantu siasatan.

Terdahulu dalam kejadian lebih kurang pukul 8.45 pagi tadi berlaku kebakaran di premis berkenaan dan Jabatan bomba dan Penyelamat Bangi berjaya memadamkan kebakaran.

Dalam masa yang sama hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki disyaki warganegara Nepal berada di lokasi kebakaran dalam keadaan memegang pisau dan mengugut hendak membunuh diri sebelum berjaya dipujuk dan diselamatkan.

Anggota bomba terlibat kemudian menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bomba selamatkan warga Nepal bahayakan diri dalam bangunan terbakar