KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, memerintahkan supaya penyanyi dan pelakon, Watie Sadali membayar RM2,000 setiap bulan bagi melangsaikan tuntutan saman terhadap bekas ahli kumpulan Elite, Hana Adnan.

Jumlah tuntutan saman berkenaan adalah sebanyak RM796,000.

Peguam bela kepada Hana, Mohd Fikri Abd Rahman berkata, perkara berkenaan dipersetujui kedua-dua belah pihak di Mahkamah Selayang pada hari ini.

“Saya meminta supaya kes ini tidak dipanjangkan sebab Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan anak guam saya bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan.

“Hana juga kehilangan pekerjaan dan mungkin disebabkan itu beliau agak beremosi tetapi perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma yang dipersetujui,” katanya.

Jelas beliau, pembayaran berkenaan telah dipersetujui seperti yang diperintahkan oleh mahkamah pada 25 Oktober 2017.

Bagaimanapun Watie dilaporkan beberapa kali membuat penangguhan bayaran.

Saman yang dituntut Hana merupakan ganti rugi selepas mendakwa Watie atau Norwati Sadali gagal membayar pinjaman bank menggunakan namanya untuk membeli kereta Toyota Wish.

Hana telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 pada September 2005 kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.

Namun Watie gagal membuat bayaran ansuran kepada pihak bank sejak September 2010 menyebabkan Hana diisytiharkan muflis. – MalaysiaGazette