Dr. Nazatul Sabariah Ahmad yang juga pengasas Dental Valet.

KUALA LUMPUR – DV Group Berhad membuka cawangan ke dua klinik gigi miliknya itu  Pakar Pergigian Kanak-Kanak Dental Valet  di Shah Alam selepas kejayaan cawangan pertama di Bandar Baru Bangi yang beroperasi sejak tahun 2016.

Pengasas syarikat pemegang pelaburan itu, Dr. Nazatul Sabariah Ahmad berkata, klinik pergigian itu menyasarkan pesakit di kalangan kanak-kanak sejak bayi hingga remaja berusia 17 tahun termasuk kanak-kanak istimewa.

Menurut beliau yang juga Pakar Perunding Pergigian Kanak-Kanak, sebagai tarikan utama dan mewujudkan kelainan klinik, pihaknya mengubah suai persekitaran dengan dekorasi ceria dan berwarna-warni serta  mengelak gambar-gambar gigi rongak dan rosak supaya pesakit berasa selesa.

“Dental Valet kini mempunyai 12 doktor pakar dalam pelbagai bidang dan kami gunakan pendekatan memujuk, memberi hadiah dan penghargaan kepada kanak-kanak untuk meredakan kesakitan.

“Melihat kepada sambutan menggalakkan sehingga suku kedua tahun hadapan, satu lagi cawangan klinik akan dibuka di Damansara.

“Malah kami merancang untuk melengkapkan fasiliti di Dental Valet Shah Alam  dengan menambah kerusi pergigian dari enam buah kepada sembilan termasuk fasiliti x-ray dan bilik pesakit berkeperluan khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Dental Valet membuka cawnagan keduanya di Damansara.

Nazatul Sabariah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif DV Group Berhad menambah, pihaknya juga sedang membangunkan Akademi Dental Valet  dan akan mula mengambil pelajar mulai  bulan Januari depan.

Beliau berkata, akademi itu bertujuan memberi latihan kepada doktor gigi am yang mempunyai minat di dalam bidang pergigian kanak-kanak dan juga memberi latihan kepada pembantu pembedahan pergigian.

“Jika ada yang mahu berkolaborasi mereka dialu-alukan untuk membangunkan klinik gigi dengan modal antara RM600,000 hingga RM700,000 termasuk peralatan rawatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau memberitahu, DV Group Berhad turut merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam masa lima tahun dengan nilaian RM300juta di mana engumpulan dana  yang pertama telah dijalankan pada April lalu.

Jelas beliau, hasil daripada pengumpulan tersebut, pihaknya telah menyiapkan Klinik Pakar Pergigian Pediatrik Dental Valet Shah Alam di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. – MalaysiaGazette