Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan menunjukkan kenderaan curi yang digunakan oleh suspek dalam menjalankan aktiviti kegiatan jenayah pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam menumpaskan ‘Geng Harrier Putih’ dalam sindiket curi kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 DISEMBER 2022.

SERDANG – Empat ahli sindiket curi kereta diberkas polis dalam empat serbuan bersingan di sekitar Lembah Klang pada 24 Disember lalu.

Mereka yang menyamar sebagai penjual buah akan mengintai persekitaran sebelum mencuri kenderaan yang diletakkan di luar kawasan kediaman dan kawasan kawasan parkir stesen LRT dan MRT.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA. Anbalagan berkata, suspek menggunakan ‘programmer’ untuk mematikan peranti sistem kedudukan global sebelum melarikan sesebuah kenderaan.

“Kemudian kenderaan yang dicuri itu akan dibawa ke satu lokasi perumahan kawasan pedalaman dan sunyi sebelum menukar nombor pendaftaran serta menghantar ke luar kawasan Lembah Klang sebelum dijual atas permintaan pembeli yang terdiri daripada pengusaha bengkel membaiki kereta.

“Siasatan mendapati mereka menggunakan Toyota Harrier putih untuk melakukan kegiatan curi kenderaan itu secara lebih kerap pada waktu siang dan untuk tahun 2022 sahaja mereka terlibat dalam 15 kes curi kenderaan di Lembah Klang dan mereka dikhuatiri mencuri lebih banyak kenderaan berdasarkan rekod lampau kes tersebut sejak 2018,” katanya pada sidang media, di  sini, hari ini.

Tiga suspek pertama diberkas di Taman Muhibbah Seri Kembangan, Selangor manakala suspek keempat dicekup di sebuah rumah di Setapak, Kuala Lumpur.

Menurut Anbalagan, empat suspek yang ditahan itu berikutan laporan mengenai kehilangan kereta Perodua Myvi di Puchong, dekat sini, pada 24 Disember lalu didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan jenyah dan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, katanya, abang kepada salah seorang suspek yang dipercayai dalang sindiket tersebut masih bebas dan polis sedang giat memburunya.

Tambah beliau, penahanan suspek yang berumur antara 41 hingga 59 tahun itu membawa kepada rampasan sebuah kereta Perodua Myvi yang dilaporkan hilang dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah itu.

Menurut Anbalagan, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kita akan memohon untuk sambung reman ke atas kesemua suspek itu apabila tempoh reman asal tamat esok (31 Disember),” ujarnya.-MalaysiaGazette