Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyerahkan sumbangan 'Back To School' kepada penerima ketika di program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak memberi kesan kepadanya.

Menurut Menteri Ekonomi itu, rakyat boleh membezakan watak-watak seperti Wan Saiful yang membuat kenyataan seperti itu.

“Dari segi bagaimana prestasi saya akan dihakimi oleh rakyat, itu juga adalah jelas. Saya tidak berniat atau mempunyai rancangan untuk membuat komen politik kepada orang-orang politik yang membuat komen seperti Wan Saiful.

“Berbanding contohnya kalau komen daripada penduduk di Pandan dengan komen daripada Wan Saiful, saya lebih beri perhatian kepada komen penduduk di Pandan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Rakyat dan Program Kembali ke Sekolah Parlimen Pandan di sini hari ini.

Terdahulu, sebelum ini Wan Saiful mencadangkan agar Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggantikan jawatan Menteri Ekonomi disandang Rafizi sekiranya Ahli Parlimen Pandan itu terus tidak kompeten dalam menjalankan tugas.

Kataya, Johari jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga membuat semua pihak ‘terduduk’ semata-mata sebab dendam politik.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, sekiranya orang politik tidak berhati-hati terutama yang sebelum ini mempunyai peluang melakukan sesuatu tetapi gagal, mereka akan berhadapan dengan pandangan rakyat.

“Bagi saya, kerja saya sangat jelas. Saya ada soal kerangka ekonomi dan juga rancangan ekonomi yang perlu dilaksanakan dengan baik.

“Ada perkara yang saya akan bawa kepada rakyat secara berdepan, ada perkara yang saya kena susun perancangannya lebih panjang.

“Akhirnya saya serahkan pandangan itu kepada rakyat dan saya terima dengan terbuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada PKR ada menerima surat jemputan untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada pertengahan Januari, Rafizi berkata, pihaknya masih belum mendapat apa-apa maklum balas dari ibu pejabat parti berkenaan perkara itu.

Ujarya, sekiranya PKR menerima surat jemputan berkenaan, ia akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.

“Kalau dapat jemputan prosesnya akan dibawa ke biro politik. Biro politik akan buat keputusan. Jadi saya tunggu kalau perkara itu telah dihantar secara rasmi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rafizi angkuh, baik ganti dengan Johari – Wan Saiful