Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli beramah mesra bersama orang ramai yang hadir ke program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi industri kecil dan sederhana (IKS) di sebalik kebimbangan penularan semula Covid-19 khususnya melibatkan China ketika ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebagai negara dagangan, Malaysia sangat bergantung terhadap situasi yang berlaku di China, sungguh pun pembukaan semula ekonomi republik itu memberi manfaat ekonomi baik kepada negara.

“Malaysia adalah sebuah negara dagangan. Sudah tentu apa yang berlaku dalam dunia akan memberi kesan kepada kita. China adalah negara ekonomi kedua terbesar dunia. Jadi, kena perhatikan dengan dekat bagaimana perkembangan keadaan Covid-19 di sana.

“Kalau dilihat perkembangan dua tahun lalu, banyak perkara yang berlaku di China ada kesan yang besar kepada dunia, tidak terkecuali Malaysia.

“Harga barang tertentu naik mendadak kerana aktiviti pengilang adalah dari China,” katanya selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat dan Program Kembali ke Sekolah Parlimen Pandan hari ini.

Menurut Rafizi, kerajaan sentiasa memantau secara dekat situasi di China dan beberapa negara rakan dagangan Malaysia.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan tindakan segera dapat diambil jika negara berkenaan berdepan masalah tertentu.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman dua tahun lalu juga banyak perkara yang ditambah baik untuk kelangsungan syarikat Malaysia.

“Keadaan di China setakat ini terkawal. Apa pun, kita memantau dengan dekat untuk kita perkuatkan lagi sebarang tindakan untuk kurangkan kesan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tindakan kerajaan dalam tempoh terdekat ini sememangnya terarah kepada usaha membantu IKS untuk pulih daripada cabaran pandemik, sementara rakyat pula akan terus dibantu susulan kenaikan kos sara hidup.

“Setakat ini, pendekatan kerajaan adalah melindungi dan membantu IKS sebanyak yang mungkin. Contohnya tarif elektrik, IKS dikecualikan sepenuhnya.

“Begitu juga tarif gas. Minggu lepas diumumkan ada sedikit penurunan, bergantung kepada penggunaannya oleh IKS,” tambahnya. – MalaysiaGazette