Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin ketika bercakap pada media mengenai saman fitnah terhadap penyebar video palsu aplikasi dari TikTok di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Jutawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Al Amin melahirkan harapan tinggi supaya tahun 2023 akan membuka lembaran baharu kepada pihak yang memfitnahnya.

Malah jutawan yang sebelum ini pernah dikategorikan golongan termiskin di daerah Besut, Terengganu dan pernah melalui cabaran termasuklah menjadi pengutip sampah itu mahu menutup ‘buku lama’ dan memulakan sesuatu yang baharu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette hari ini, kata Mohamad Azlan, sepanjang tahun ini sahaja beliau terpaksa bertindak menyaman beberapa individu dengan jumlah puluhan juta kerana mengeluarkan kenyataan fitnah tidak berasas terhadap dirinya.

“Saya sebenarnya tidak gemar untuk menyaman sesiapa apatah lagi sehingga bernilai puluhan juta. Ini bukanlah satu publisiti yang saya mahukan. Saya sebolehnya tidak mahu membuang masa melayani kerenah kerenah individu seperti ini

“Namun saya tidak boleh biarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini terus bebas melakukan dan menyebar dakyah dakyah buruk dengan mudah tanpa fakta, jadi saya tidak ada pilihan selain ambil tindakan saman fitnah sebagai pengajaran kepada mereka.

“Yang saya tidak faham, mengapakah masih ada lagi yang masih sesuka hati mengaibkan seseorang yang akhirnya membawa padah kepada mereka dan keluarga mereka tanpa asas dan fakta? Hakikatnya menyebarkan dan melakukan fitnah bukan sahaja di larang dalam Islam sebaliknya juga satu tindakan sia-sia penuh hasad dengki,” katanya.

Pada Ogos tahun ini juga, Mohamad Azlan mengambil keputusan untuk menyelesaikan isunya difitnah oleh seorang individu dari Kelantan secara baik tanpa melibatkan tuntutan mahkamah.

Beliau telah membatalkan hasratnya memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM7 juta terhadap individu tersebut setelah menerima permohonan maaf malah memberikan sumbangan berupa wang tunai selepas mendengar rintihan individu tersebut.

Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin taja lebih 400 penduduk setempat daerah Besut naik helikopter secara percuma.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan yang juga Pengerusi Eksekutif Haji Land Berhad sudah merencanakan pelbagai perancangan bukan sahaja berkaitan perniagaan hartanah beliau sebaliknya juga kerja-kerja sosialnya. 

“Banyak perancangan dan semoga semuanya akan berjalan dengan lancar, saya dilahirkan dalam sebuah keluarga susah 16 adik beradik dan pernah dibanci sebagai keluarga termiskin di Besut pada tahun 90-an. Saya tahu apa itu erti susah.

“Kerana itu juga perniagaan hartanah yang saya asaskan ini bukan untuk keuntungan semata-mata sebaliknya juga mengambil kira kepentingan golongan susah di luar sana,” ujarnya.

Nama Muhammad Azlan mula dikenali rakyat Malaysia selepas tular kerana bangkit menjadi jutawan menerusi perniagaan hartanah walaupun asalnya beliau hanya bekerja sebagai pengutip sampah.

Beliau mengabadikan kisah hidupnya menerusi buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ dan sejak itu terus tular dengan beberapa kisah menolong orang ramai termasuk membawa golongan miskin menaiki helikopter untuk bersiar-siar di sekitar Besut. – MalaysiaGazette