JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta mempertimbangkan untuk memasukkan projek pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Jafni Md Shukor berkata, permohonan dilakukan berikutan keperluan PPR di kawasan Larkin yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
“Kita telah pun memohon PPR Larkin sebab sebelum ini dalam RMK-12, Johor tidak memohon.
“Jadi kali ini kerajaan negeri telah pun meminta kepada Menteri KPKT yang baru, Nga Kor Ming untuk pertimbangkan permohonan bagi PPR di Larkin ini.
“Kita telah memberikan dua cadangan untuk kos pembinaan, satu dalam RM150 juta dan RM86 juta dan itu adalah satu-satunya PPR yang kita mohon untuk RMK12. Sudah semestinya kita harap kementerian dan kerajaan pusat boleh meluluskan peruntukan satu projek PPR ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Turun @ PPR di PPR Sri Stulang dan PPR Sri Iskandar, di sini, hari ini.
Mohd Jafni memberitahu, sehingga kini terdapat enam PPR yang sedang dalam pembinaan.
PPR itu terletak Pengerang Kecil (Kota Tinggi), PPR Bandar Tenggara (Kota Tinggi), PPR Ulu Tiram (Johor Bahru), PPR Permas Jaya (Johor Bahru), PPR Masai (Pasir Gudang) dan PPR Sembrong (Kluang).
Sementara itu, beliau berkata, bermula tahun ini, bayaran sewa bagi 14,000 unit PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) perlu dibayar selewat-lewatnya 7 haribulan setiap bulan.
Penetapan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengecualikan bayaran sewa kepada semua unit itu selama dua tahun iaitu 2021 dan 2022 akibat pendemik Covid-19.
“Dalam tempoh dua tahun pengecualian sewa bagi 14,000 unit di 11 PPR dan sembilan RSK seluruh negeri Johor, ia membabitkan kos RM52 juta. Jadi bermula tahun ini, mereka perlu membayar sewa rumah seperti kos yang ditetapkan dengan kadar serendah RM124 sebulan,” ujarnya.
Katanya, tahun ini kerajaan negeri mensasarkan pungutan sewa sebanyak RM24.9 juta bagi 14,000 unit PPR dan RSK.
Hasil pungutan itu, katanya, akan gunakan untuk kos penyelenggaraan yang menelan belanja lebih RM18 juta. -MalaysiaGazette