Api marak ketika bopmba tiba di sebuah rumah yang terbakar di Kampung Tanggut, Gombak, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, Gombak, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya berusia enam tahun Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi.

Anggota bomba memadam api yang marak di sebuah rumah yang terbakar di Kg Tanggut, Gombak.

Seramai 17 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak dan BBP Rawang tiba di lokasi kejadian pada jam 4.03 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat.

”Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan pintu rumah  dikunci.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asistem Komisioner Zainal Mohamed mengesahkan kematian kanak-kanak terbabit dan kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Menurutnya, kebakaran di sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga itu melibatkan tiga kediaman lain dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya lebih kurang sejam oleh pihak bomba.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Ketua Polis Balai Gombak, Insp Heirme Bin Che Mad di talian 014-2389151 atau 03-61895222.