pakatan nazir helmi
Nazir Helmi

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Kedah pimpinan Pas menutup premis judi di negeri itu merupakan jawapan terhadap tomahan kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana tauke judi semasa Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia Nazir Helmi berkata, adalah tidak logik untuk pengusaha judi membantu PN yang akhirnya akan merugikan mereka.

“Perlaksanaan penutupan ini juga secara tidak langsung menjawab tuduhan tidak bertanggungjawab, serta persepsi yang dilemparkan sesetengah individu yang kononnya kempen Perikatan Nasional dan Pas ditaja oleh pengusaha dan tauke judi.

“Apakah logik pengusaha judi akan menolong pihak yang akan merugikan perusahaan mereka?

“Bahkan sehingga kini, tiada bukti yang ditunjukkan oleh pihak yang menuduh, apatah lagi tindakan yang dikenakan ke atas Pas-PN ekoran tuduhan tersebut,” kata Nazir dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, walau berbagai tohmahan dan kecaman dilempar oleh musuh Pas terhadap parti itu namun Pas sehingga kini membuktikan ketegasan dalam setiap perkara yang dijanjikan.

Katanya, langkah yang diambil oleh Kerajaan Kedah merupakan bukti bahawa Pas teguh dengan dasar dan pendirian seperti termaktub dalam Perlembagaan parti yang bertekad mewujudkan masyarakat dan negara yang mengamalkan nilai dan syariat Islam.

Tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor katanya, menzahirkan kebijaksanaan kerajaan Pas Kedah dalam merangka dan melaksanakan polisi sehingga ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Pemuda Pas menegaskan, tindakan ini bukan sahaja dibuat atas pertimbangan agama, bahkan mengambil kira kesejahteraan sosial dan masyarakat rentas agama dan kaum yang turut terjejas ekoran ketagihan judi dalam masyarakat.

“Inilah manifestasi Islam memimpin yang membawa kesejahteraan kepada rakyat! Kedah telah mengikuti kejayaan Kelantan dan Terengganu. Insya-Allah Perlis menyusul!” kata Nazir.

Media pada Disember lalu melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Muhammad Sanusi dalam kenyataan semalam berkata, Kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. GOLONGAN MUNAFIK ANWAR ZAHID SEKUTUNYA AKAN TERUS DENGAN FITNAH2 MEREKA
    UMPAMA KAKI KENCING DAN NIKMATI AIR KENCING

Comments are closed.