Barisan sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Tumpat, Kelantan

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jawatankuasa Misi Bantuan Pasca Banjir 2022/2023 berjaya melaksanakan Misi Menyantuni Mangsa Pantai Timur di daerah Tumpat, Kelantan dan Jerteh Terengganu pada 30 dan 31 Disember lalu.

Misi di bawah kelolaan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah disertai masing-masing seramai 45 sukarelawan dari kalangan staf dan pelajar di Tumpat serta 47 sukarelawan di Jerteh.

Di Tumpat, sukarelawan UPM membantu operasi pembersihan rumah mangsa banjir di beberap buah kampung seperti Kampung Telok Jering, Kampung Kajang Sebidang serta Kampung Sedar, selain mengagihkan bantuan pek makanan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.

Manakala di Jerteh, sukarelawan UPM telah membantu operasi pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong yang terjejas teruk dengan kejadian banjir luar jangka apabila air naik lebih dari dua meter.

Operasi yang turut disertai oleh sukarelawan dari beberapa buah universiti tempatan lain telah membersihkan kelas serta peralatan kerusi, meja selain menyusun tilam dia asrama bagi membolehkan sekolah dapat memulakan operasi dengan lancar 1 Januari 2023.

Bantuan pek makanan juga turut diedarkan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.

Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan membantu mangsa banjir.

Dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur ini, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang cakna dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir sekali gus bersedia untuk turun padang membantu meringankan beban mereka.

”Misi seumpama ini adalah bukti bahawa warga universiti sentiasa mengambil peduli masalah yang menimpa anggota masyarakat dan bersedia untuk menghulurkan pelbagai bantuan sebagai tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat sekali gus bertepatan dengan motto UPM iaitu ‘Berilmu, Berbakti’,” katanya.

Jelas Mohd Roslan, misi ini adalah susulan kepada misi yang telah dilaksanakan di Bachok, Kelantan sebelum ini dan UPM bersedia untuk meneruskan misi murni seperti ini pada masa-masa akan datang mengikut keperluan.

Misi di Kelantan dan Terengganu ini telah melibatkan penyertaan sukarelawan pelajar dari kalangan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Kor Palapes) serta ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast