KUALA LUMPUR – Gamuda Land membeli lapan bidang tanah pegangan kekal seluas 532 ekar pada harga RM360 juta.
Tanah yang terletak bersebelahan perbandaran Gamuda Gardens itu dibeli daripada Kundang Properties untuk dijadikan pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, pengambilalihan ini akan mengukuhkan kehadiran syarikat ini di utara Lembah Klang, yang telah membangun dan melabur dengan ketara dalam Gamuda Gardens.
Pengambilalihan tanah ini akan membantu menambah tawaran kediaman bertanah Gamuda Gardens.
”Kami menjangkakan penggunaan tanahyang lebih besar untuk produk masa depan kami dengan hartanah runcit, riadah dan komersial dalam tempoh dua tahun akan datang untuk disesuaikan dengan pasaran yang sedang berkembang di kawasan ini,” katanya.
Pada masa ini, baki tanah tanah Gamuda Land seluas 3,344 ekar dengan nilai RM55.3 bilion dalam GDV untuk tempoh pembangunan selama 15 tahun.
Bank tanahnya merentasi seluruh Malaysia, Vietnam, Australia, Singapura dan United Kingdom. – MalaysiaGazette