Lim Guan Eng ketika merasmikan Pusat Khidmat DAP Ahli Parlimen Bagan.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengajak rakyat untuk bersatu demi mengalahkan puak ekstremis yang ingin melihat rakyat di negara ini saling bertelingkah.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, puak ekstremis perlu ditewaskan supaya negara boleh menumpukan perhatian terhadap ekonomi.

Beliau menegaskan dengan penyatuan, negara ini boleh mencatatkan pembangunan yang memberangsangkan.

“Mari kita bersatu mengalahkan puak-puak ekstremis yang ingin memecahbelahkan rakyat agar menumpukan perhatian kepada masalah ekonomi negara dan menghapuskan amalan rasuah.

“Hanya bila kita teguh bersama barulah Malaysia akan maju bersama,” ciap beliau di Twitter.

Guan Eng berkata, Kerajaan Perpaduan yang berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong akan terus memberi fokus kepada ekonomi.

Ini supaya rakyat dapat hidup lebih selesa serta mempunyai peluang kerja dan sekaligus melindungi kebajikan rakyat, katanya sempena perasmian Pusat Khidmat DAP Ahli Parlimen Bagan.

Katanya, pelancaran pusat khidmat berkenaan bagi menandakan iltizam baru beliau untuk terus komited berkhidmat dan membela nasib rakyat.

Katanya, kemenangan besar di Parlimen Bagan membangkitkan semangat untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Saya menzahirkan sekali lagi jutaan terima kasih kepada penyokong dan pendokong yang memastikan kemenangan besar kita di Parlimen Bagan sehingga semua lawan hilang deposit buat kali pertama dlm sejarah pilihanraya Bagan.

“Ini terus membakar semangat saya untuk terus berkhidmat sebaik mungkin,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette