Abd Halim Bakar, 50, bapa kepada pemain bola tampar Melaka mengulas mengenai insiden anaknya, Nur' Saidatul Akma, 14, yang ditampar jurulatih selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melekek, Alor Gajah, Melaka hari ini.

MELAKA – “Hentikanlah kecam dan jangan ambil tindakan terhadap jurulatih anak saya, Cikgu Hadi (Saiful Hadee Amar) sebab tamparan itu pun bukannya sampai cedera malah anak-anak pun merayu kerana jurulatih mereka sudah banyak berkorban melatih mereka.

“Tanpa jurulatih itu, anak-anak saya tentu tidak berjaya sehingga dapat mewakili Melaka dalam sukan bola tampar,” kata Abd Halim Bakar, 50, bapa kepada Nur’ Saidatul Akma, 14, yang insidennya ditampar jurulatih berkenaan tular baru-baru ini.

Menurut juruteknik kilang itu, walaupun pada mulanya terkejut dengan insiden berkenaan, beliau secara peribadi menghormati tindakan guru berkenaan yang dilihat bertujuan mendidik anaknya.

Malah kedua-dua anaknya, Saidatul Akma dan Nur’ Syaafiah, 16, juga amat menyenangi guru berkenaan sepanjang lima tahun menjadi anak didiknya dalam sukan tersebut.

“Adatlah dalam sukan, kena tampar sikit-sikit itu perkara biasa untuk membangkitkan semangat malah selepas ditampar itu, anak saya terus bangkit dengan prestasi yang lebih baiik.

“Insiden itu langsung tidak membuatkan emosinya terganggu, sebab itu saya harap kerajaan tidak mengenakan hukuman berat pada Cikgu Hadi yang sudah banyak berkorban membangunkan sukan bola tampar negeri ini.

“Malah, cikgu ini juga ada menggunakan perbelanjaan sendiri untuk melatih anak-anak saya daripada tak tahu apa-apa sampai mampu mewakili negeri,” katanya.

Artikel berkaitan: 

Abd Halim berkata demikian bagi mengulas penularan video memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar anaknya dan seorang lagi pemain remaja perempuan selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

Insiden itu kemudian telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyelar tindakan berkenaan, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula sedang mendapatkan butiran lanjut kerana membabitkan pelajar bawah umur

Malah, MAVA turut mengambil keputusan menggantung tugas jurulatih berkenaan daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Semalam, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, V P Shanmugam bagaimanapun berkata, keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih berkenaan hanya akan diputuskan esok.

Ia susulan setakat semalam Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) belum mengambil sebarang tindakan terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung penglibatan guru berkenaan.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata insiden yang berlaku terhadap anak keempat daripada lima beradik itu juga diharap tidak berpanjangan yang dikhuatiri menjatuhkan imej sukan bola tampar negeri ini.

“Takkanlah kerana silap sikit, kita hendak lupakan sumbangan jurulatih berkenaan yang banyak menaikkan nama negara sebab itu, saya dan keluarga seorang lagi pemain tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada Cikgu Hadi.

“Ketegasan Cikgu Hadi itu masih boleh diterima kerana sebelum ini pun anak-anak cakap jurulatih itu tidak pernah sentuh mereka sehinggalah ke hari kejohanan,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

1 Komen

  1. Eloklah juga dengar pendapat bapa gadis tersebut. Janganlah dengar sangat pendapat2 dan tindakan2 yg bakal diambil oleh menteri2 PH yg suka mengambil kredit dan menonjolkan diri!

Comments are closed.