Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan diadakan pada 11-14 Januari 2023 di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO bakal mengadakan mengadakan perhimpunan khas ketika Perhimpunan Agungnya (PAU2022) pada 13 Januari depan.

Ia bagi proses meminda Perlembagaan parti itu bagi disesuaikan dengan pelaksanaan peraturan Akta Anti Lompat Parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan itu membabitkan Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding namun bertindak meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Jelas Ahmad, pindaan itu adalah untuk disesuaikan dengan akta yang diluluskan Parlimen pada 2022.

“Sebelum ini elemen gugur jadi ahli itu tidak berkaitan sangat dengan Akta Anti Lompat Parti, jadi apa yang kita nak buat adalah selaras dengan akta maka kita masukkan elemen bagi pengguguran mereka yang jadi ahli UMNO apabila mereka keluar parti,” katanya dalam sidang media sempena PAU2022 di sini hari ini.

Turut dipinda adalah pertambahan perwakilan pada PAU2022 kali ini di mana ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun.

“Perhimpunan Agung Khas itu juga membolehkan Ketua Penerangan Bahagian secara automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun, membabitkan pindaan pada Fasal 8.4,” katanya lagi.

Ahmad sebelum ini berkata, pindaan dua fasal perlembagaan parti itu akan dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

PAU2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember lalu telah ditangguhkan kepada 11 Januari sehingga 14 Januari depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast