Pasangan suami isteri diiringi anggota polis berjalan keluar dari mahkamah selepas mendapat perintah reman atas pertuduhan kesalahan terbabit dalam kes letupan bom buatan sendiri yang telah mengakibatkan kematian seorang di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bungkusan meletup di Pandan Indah, Ampang Jaya, di sini, pada 29 Disember lalu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, seorang pelayan restoran maut selepas menyentuh bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.

Punca kejadian dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.

Suspek lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berumur 30 tahun diberkas di sebuah rumah di Serdang, Kedah malam tadi dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mereka terus dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang untuk permohonan perintah reman yang mana mereka direman bermula hari ini sehingga 10 Januari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bungkusan meletup: Pasangan suami isteri diberkas polis

Pelayan kedai makan maut selepas buka bungkusan misteri

Dalam kejadian itu mangsa yang berusia 28 tahun cedera parah pada anggota badan dan tangan.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Ampang oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan disahkan meniggal dunia pada jam 9.50 malam.

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette