Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kabinet hari ini meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi projek Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu terpaksa dilakukan bagi menyiapkan projek berkenaan.

“Terpaksa kita berikan satu lagi bentuk suntikan tuntutan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

“Dari tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

Anwar turut berkata, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Berhad selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

“Perkara perolehan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian disebabkan pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan OPV itu disiapkan mengikut jadual dan keduanya tidak lepaskan siapa yang salah guna kuasa kaut kekayaan tanpa siasatan,” katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini telah memanggil KDN dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV.

Ia apabila APMM dalam kenyataan pada 13 September 2022 memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata kapal OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor. – MalaysiaGazette