najib UMNO
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga kanan) bermesra dengan penduduk pada ceramah umum BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Trolak Selatan, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Tanpa sokongan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, prestasi UMNO dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang dijangka semakin teruk.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, situasi itu diramalkan berlaku di negeri-negeri di mana UMNO gagal memenangi walaupun satu kerusi Parlimen, lebih-lebih lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu minimum.

“Dengan sokongan meluas dan semangat muhibah yang tinggi dalam kalangan orang Melayu berikutan rekod prestasi beliau, hanya Najib yang dapat menyantuni mereka termasuk yang mempunyai fahaman politik berbeza.

“Peratusan besar ahli-ahli dan penyokong UMNO yang masih setia menyokong Najib berkemungkinan besar tidak akan mengundi UMNO atau keluar mengundi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekiranya Najib tidak dibebaskan dan diberi perbicaraan semula yang adil,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pada PRU-15, UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PRN akan diadakan tahun ini di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang di mana tiada satu pun daripada enam negeri berkenaan kini di bawah penguasaan BN.

Sian See menambah, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di peringkat kerajaan Persekutuan ketika ini akan menyebabkan UMNO ditolak oleh orang Melayu serta penyokongnya sendiri.

Beliau menambah, kenyataan yang dibuat oleh menteri-menteri Kerajaan Perpaduan berhubung isu harga ayam, harga babi, COVID-19 dan subsidi dikatakan tidak membantu memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap mereka.

“Apa yang mereka fikirkan? Tidakkah mereka sedar bahawa kenyataan mereka itu menyebabkan orang Melayu marah dan enggan menyokong kerajaan?” soalnya.

Sian See berkata, akibatnya, keputusan PRN mungkin tidak memihak kepada UMNO, lebih-lebih lagi apabila mengambilkira kepimpinan parti sedia ada gagal menarik sokongan orang Melayu.

“Sekiranya prestasi UMNO teruk, dijangka ahli-ahlinya akan memberi tekanan yang hebat agar parti itu keluar dari Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau juga menjangka PRN di enam negeri berkenaan bakal menguji kemampuan Kerajaan Perpaduan untuk terus bertahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast