Logo Celcom 5G Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat perundingan telekomunikasi yang berpangkalan di United Kingdom mempertikaikan penulisan Rais Hussin mengenai pelaksanaan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB).

Perunding dari Plum Consulting London LLP Grant Forsyth, David Lewin dan Profesor William Webb menyangkal andaian Rais bahawa SWN melibatkan perkongsian rangkaian capaian radio (RAN) yang aktif.

“Emir Research salah faham bagaimana SWN berfungsi. Setiap pengendali mudah alih akan terus berinovasi dalam rangkaian teras mereka daripada segi perkhidmatan yang ditawarkan, sambil membeli akses 5G pada harga jauh di bawah kos akses 4G.

“Memang tidak akan ada inovasi dalam pembekalan infrastruktur RAN 5G kerana tiada persaingan infrastruktur dalam komponen rangkaian ini.

“Tetapi inovasi ini ditentukan sebahagian besarnya oleh badan piawaian yang berkaitan dan kemudian dilaksanakan oleh vendor rangkaian global,” kata mereka dalam kenyataan, hari ini.

Rais daripada Emir Research mencadangkan pembahagian semula spektrum 5G untuk dilesenkan kepada enam syarikat pengendali mudah alih.

Menjawab kenyataan itu, firma rundingan itu berkata, dakwaan Rais bahawa tidak akan ada pengurangan harga akibat pemilihan model SWN dan bukannya menggunakan beberapa rangkaian akses 5G adalah tidak benar.

Malah langkah itu sebenarnya akan menjadikannya empat hingga lima kali ganda lebih mahal.

“Melancarkan enam rangkaian 5G — satu untuk setiap pengendali mudah alih — memerlukan enam kali lebih banyak stesen pangkalan 5G.

“Kos unit bagi setiap stesen pangkalan mungkin lebih rendah sedikit di bawah pilihan enam rangkaian. Tetapi kami menganggarkan bahawa kos keseluruhan sepuluh tahun pemilikan rangkaian 5G di bawah pilihan ini akan menjadi empat hingga lima kali ganda lebih besar daripada di bawah SWN.

“Ini bermakna harga pengguna akhir di bawah SWN dijangka sekitar 60 peratus lebih rendah berbanding dengan penggunaan enam rangkaian 5G,” kata firma berkenaan.

Dalam pada itu, firma berkenaan menganggarkan DNB memerlukan lebih 10,000 tapak sel untuk menyediakan 90 peratus liputan populasi menjelang 2027.

Katanya, DNB mendahului jadualnya dalam memenuhi sasaran pelancaran utama sebanyak 80 peratus liputan penduduk menjelang akhir 2024.

Tidak seperti apa yang didakwa Rais, Plum Consulting berkata, kerajaan dijangka menyumbang sebahagian kecil daripada dana yang diperlukan DNB menjelang 2025.

“Terdapat kos permulaan sekitar RM800 juta dalam kos korporat RM4 bilion. Tetapi apabila kos permulaan ini dikecualikan, kos korporat DNB adalah sejajar dengan pengendali mudah alih Malaysia yang lain,” katanya.

Menjawab cadangan Emir Research bahawa DNB harus menjadi entiti neutral dan fokus dalam mengembangkan rangkaian pasif, Plum Consulting berkata, selaku pengendali telekomunikasi berlesen, DNB tertakluk kepada penelitian rapi dan kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“MCMC akan memantau kemajuan DNB berbanding perancangannya dan mengawal selia cara mereka membekalkan perkhidmatan 5G borong kepada pemegang lesen daripada segi syarat pembekalan harga dan bukan harga“.

“Kualiti operasi DNB akan tertakluk kepada pemantauan minit ke minit dan transaksi demi transaksi, oleh pengendali mudah alih yang masing-masing berminat untuk memastikan jaminan kualiti perkhidmatan yang dijanjikan oleh DNB,” kata firma perunding itu.

Firma itu menjangkakan dalam beberapa tahun lagi, DNB akan dibiayai melalui gabungan pemegang bon swasta, pengendali mudah alih dan kerajaan yang mana Putrajaya memegang kepentingan minoriti.

Pada 5 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula pelan perlaksanan 5G Malaysia, dengan penekanan pada ketelusan.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus. – MalaysiaGazette