Khairul Azwan Harun Zahid UMNO kuat
Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berpandangan, kedudukan dan kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti wajib dikekalkan.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO tidak sepatutnya terperangkap dalam mainan naratif sempit dan jelik oleh musuh-musuh parti seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang sememangnya mahukan UMNO berpecah-belah.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu menambah, kepimpinan dan kebijaksanaan Ahmad Zahid selaku Presiden parti telah memastikan UMNO terus relevan dan berada dalam teraju kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Adakah perlu bagi UMNO merubah kedudukan yang ada ini?

“Saya yakin majoriti ahli-ahli mahukan kestabilan dan peranan UMNO yang besar dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairul Azwan mengulangi cadangannya sebelum ini agar Ahmad Zahid dikekalkan sebagai Presiden UMNO menjelang pemilihan parti tahun ini.

Ahmad Zahid pula menyerahkan kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang bakal bersidang minggu depan untuk memutuskan perkara itu.

Khairul Azwan menambah, UMNO adalah sebuah wadah politik yang senantiasa berpegang kepada prinsip demokrasi.

Menurut beliau, UMNO memastikan suara ahli-ahli melalui perwakilan mereka dibawa ke perhimpunan agung bagi memuktamadkan sesuatu keputusan.

“Ini bukan proses baharu. Bahkan UMNO adalah antara parti yang sangat demokratik di Malaysia,” jelasnya.

Khairul Azwan seterusnya mengingatkan bahawa perubahan pucuk pimpinan tidak dapat merubah kedudukan 30 kerusi yang telah dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau memberitahu, negara akan terus ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun lagi.

“Sebarang perubahan pucuk pimpinan yang akan membawa risiko kepada ketidakstabilan politik negara sehingga menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan wajib dielakkan sama sekali.

“Negara dan rakyat tidak boleh dibelenggu dengan keadaan politik yang tidak stabil di waktu ekonomi masih belum pulih sepenuhnya serta risiko penularan COVID-19 yang masih wujud,” katanya. – MalaysiaGazette