Ambika (kiri) dan gambar Adelina Lisao.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada mendiang seorang pembantu rumah dari Indonesia, Adelina Liaso yang meninggal dunia pada Februari 2018 dipercayai didera di Bukit Mertajam, Pulau Pinang akan memfailkan saman terhadap bekas majikan anaknya.

Media melaporkan Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang telah memutuskan untuk memudahcara bagi pemfailan saman terhadap keluarga yang menjadi majikan kepada Adelina iaitu Ambika MA Shanmugam.

Konsul Jeneral Indonesia di negeri itu, Bambang Suharto berkata, saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi George Town bagi pihak ibu Adelina dalam masa terdekat.

Menurutnya, ibu Adelina akan diterbangkan dari Kupang, Nusa Tenggara Timur ke Jakarta bagi menandatangani surat pentadbiran di Kedutaan Malaysia.

“Ini juga supaya ibu Adelina dia tidak perlu datang ke Malaysia untuk berbuat demikian. Kes ini tidak dibicarakan sepenuhnya apabila Timbalan Pendakwa Raya bertindak memohon supaya defendan (Ambika) dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) ketika prosiding sebelum ini,” katanya.

Untuk makluman pada Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan warga emas itu daripada pertuduhan membunuh pembantu rumahnya, Adelina.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang selepas mendapati tiada kekhilafan yang membolehkan keputusan mahkamah terdahulu diubah.

Pada 22 September 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan pihak pendakwaan ketika itu tidak memberikan alasan kukuh apabila mengemukakan permohonan bagi Ambika dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Ketika itu, Ambika didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan manakala anaknya, Jayavartiny Ramalue pula didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja tanpa dokumen yang kemudian turut dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Adelina Lisao amah Indonesia yang mati akibat didera.

Sebelum ini, kes penderaan Adelina menarik perhatian ramai selepas gambarnya tidur di sebelah kandang anjing di hadapan rumah majikannya dengan hanya beralaskan tikar nipis dan berselimut menjadi tular.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

Keputusan itu juga telah mengecewakan Duta Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono dan Bambang Suharto ketika itu kerana tidak dapat menuntut keadilan buat mendiang Adelina. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast