Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU – Patuhi undang-undang terutama Perlembagaan Negeri Sabah dalam menentukan kedudukan ketua menteri dan kerajaan negeri, kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kemelut terkini di Sabah.

Beliau berkata, Warisan tidak akan mendesak Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri, sebaliknya ADUN Sulaman itu sendiri perlu faham kedudukannya kini berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah.

Mohd Shafie berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya mempunyai bilangan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) teramai tidak sepatutnya dimainkan demi kestabilan politik negeri, sebaliknya semua pihak perlu merujuk dan bertindak berlandaskan undang-undang berkaitan.

“(Hajiji) perlu lakukan perkara yang terhormat, tiada siapa yang tahu sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti atau tidak,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Warisan di Kolombong di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri dalam sidang media mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar berkata, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

“Beliau (Hajiji) tidak ketuai parti kerana GRS itu adalah gabungan parti. Perjanjian membentuk kerajaan Sabah (selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020) juga antara BN dan PN, tetapi Hajiji sudah keluar Bersatu (komponen PN),” kata Mohd Shafie.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, Warisan menyerahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk menentukan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan kerajaan Sabah.

Ditanya adakah Warisan akan bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata, keutamaan sekarang adalah menentukan kedudukan ketua menteri dan kerajaan negeri berdasarkan undang-undang.

Ditanya adakah Warisan mempunyai sokongan majoriti ADUN Sabah untuk membentuk kerajaan negeri, beliau berkata: “Berlandaskan undang-undang dahulu, bukan nombor.”

“Saya bersimpati dengan rakyat Sabah apabila terpaksa menghadapi ketidaktentuan politik seperti ini, justeru apa yang perlu sekarang adalah tentukan kedudukan (ketua menteri dan kerajaan negeri) yang kukuh berdasarkan lunas undang-undang yang kita ada,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Amalan demokrasi yang perlu diraikan, tak usah kalut2! Harap presiden UMNO yang baharu juga nanti dapat membawa parti keluar dari gabungan kerajaan minoriti sekarang.

Comments are closed.