REMBAU – Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit kemalangan di KM2, Jalan Kundur-Pilin di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata kemalangan pada 1.15 pagi itu menyebabkan Muhammad Adib Roszaidi dan Muhammad Aiman Roslee, masing-masing berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang Muhammad Adib dan motosikal jenis Honda dinaiki oleh Muhammad Aiman bersama seorang pembonceng, Muhammad Faiz Ilham Abdul Jalal, 21.
Beliau berkata siasatan mendapati Muhammad Adib dari arah Kundur menghala ke Pilin hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu terbabas dan melanggar tiang kabel Telekom Malaysia (TM) seterusnya menyebabkan tiang tersebut patah lalu jatuh melintang di atas laluan.
Hazri berkata susulan itu, motosikal dinaiki Muhammad Aiman dan Muhammad Faiz Ilham dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terbabas di tempat kejadian.
— BERNAMA